"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warkah buat Ketua Pengarah Kesihatan

NURHAKIM SALLEH

Tan Sri Datuk Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah,

Sebagaimana yang diumumkan oleh Perdana Menteri bahawa langkah untuk meletakkan beberapa buah negeri di bawah Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 13 Januari 2021 sehingga 26 Januari disebabkan oleh sektor kesihatan negara tidak mampu menampung lagi bilangan pesakit Covid-19.

Dahulu setiap petang, saya bersama ibu saya tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan status jumlah kes harian yang disampaikan oleh Tan Sri. Saya masih ingat lagi kata-kata yang dilontarkan oleh Tan Sri bahawa betapa kita perlu mengawal pergerakan kita demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

Namun, apabila melihat SOP yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian, saya fikir kerana ianya hampir mustahil untuk kita kembali kepada angka satu digit kerana sektor ekonomi dibenarkan untuk dibuka seluasnya.

Lebih memeranjatkan saya tatkala membaca berita bahawa pihak kerajaan umum bahawa saringan akan dilakukan kepada kontak rapat yang bergejala sahaja atas faktor kekurangan fasiliti untuk memproses ujian saringan Covid-19.

Bukankah sejak awal lagi terdapat gesaan untuk mempertingkatkan kebolehan melakukan ujian saringan telah dibuat kepada pihak kerajaan?

Sidang media Dr Hisham dan pegawai kanan Kementerian Kesihatan pada 30 November 2020 dengan 1,212 kes baharu menjadikan keseluruhannya 65,697 kes.

Seterusnya, dalam usaha Malaysia melawan Covid-19, saya fikir bahawa rakyat Malaysia amat terhutang budi dengan Tan Sri dan barisan hadapan yang bertugas sejak awal tahun lalu.

Mana tidaknya, wajah Tan Sri sahaja yang terpampang di hadapan televisyen hampir setiap petang bagi mengumumkan perincian jumlah kes. 

Raut wajah Tan Sri jika diperhatikan hampir setiap hari memaparkan wajah lesu dan penuh dengan tekanan kerja kerana perlu menanggung tiga ekor biawak hidup di dalam Kementerian Kesihatan Malaysia.

Oleh itu, perjuangan Tan Sri bersama barisan hadapan yang lain amat dihargai oleh saya dan seluruh rakyat Malaysia tetapi saya mempunyai sebuah permintaan yang besar buat Tan Sri namun ianya mempunyai implikasi besar kepada kedudukan Tan Sri.

Saya ingin melihat Tan Sri untuk tidak hanya mengikut sahaja arahan yang diberikan oleh sebuah kerajaan yang tidak menerima mandat daripada rakyat. Pedulikan mereka Tan Sri kerana saya melihat Tan Sri umpama watak Profesor dalam siri La Casa De Papel di Netflix.

Saya tidak mengetahui bagaimana mesyuarat antara Tan Sri bersama anggota Kabinet berlangsung ketika membincangkan dasar kerajaan mengenai Covid-19.

Namun, saya merasakan bahawa setiap kali mesyuarat, Tan Sri mungkin sentiasa diganggu oleh sekelompok anggota mesyuarat yang berperwatakan seperti watak Rio dan Tokyo yang akan menyusahkan usaha Tan Sri untuk flatten the curve. So, I urge you to do the necessary and the right thing, Tan Sri.

Jikalau Tan Sri berpandangan bahawa Malaysia memerlukan PKP yang lebih ketat berbanding sekarang, tolong suarakan pendapat tersebut kepada orang awam.

Seperkara lagi, Tan Sri jangan segan silu untuk memarahi ahli politik yang ingkar kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Usah khuatir dengan ahli politik, jutaan rakyat akan menyokong Tan Sri sekiranya Tan Sri berbuat demikian, namun sekiranya Tan Sri hanya berdiam diri, ramai pihak akan ingat Tan Sri sebagai enabler kepada pihak yang melanggar SOP yang terdiri daripada ahli politik.

Justeru, saya pohon kepada Tan Sri sekiranya anda mempunyai moral conscience, saya pohon agar Tan Sri memikirkan tentang apa yang diperkatakan dalam warkah saya ini.

Saya pohon agar Tan Sri mengambil tindakan yang sewajarnya dan saya pasti rakyat akan sentiasa menyokong.

Akhir sekali, saya doakan seperti rakyat Malaysia yang lain akan sentiasa mendoakan Tan Sri dan barisan hadapan yang lain sentiasa diberikan kesihatan yang baik dalam usaha memerangi virus Covid-19.

Yang ikhlas,

Mohamad Nurhakim Salleh

Penuntut tahun akhir

Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Sains Politik) Universiti Kebangsaan Malaysia.

Tiada ulasan: