"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ayah Bob Lokman mengaku salah mengugut, rosakkan harta masjid

N Faizal Ghazali

Seorang lelaki warga emas dijatuhkan hukuman denda RM4,000 oleh mahkamah hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan ugutan serta merosakkan harta-benda masjid.

Pertuduhan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu.

Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menjatuhkan hukuman itu apabila Lokman Ahmad, 85, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan dia memohon maaf.

Bapa kepada pengacara, pelakon dan penulis lirik Bob Lokman itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 21 Nov tahun lalu.

Tertuduh yang tampil berjubah putih dan berkopiah serta ditolak dengan kerusi roda kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Murtadza Mohd Mokhtar.

Dalam pertuduhan pertama, Lokman didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan dengan memberitahu kepada Mohd Hanis Sulaiman, 34, yang dia ingin menetak dan menembak Muhammad Hafiz Hukmi Wardi, 39, sekali gus mendatangkan ketakutan kepada pengadu dalam kejadian di Masjid Tok Kenali, Kubang Kerian, kira-kira jam 11 pagi.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membolehkan pesalah dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua di lokasi, tarikh dan masa yang sama, Lokman didakwa melakukan khianat iaitu memecahkan pasu bunga serta memotong pokok bunga di kawasan masjid yang menyebabkan kerugian RM150.

Kejadian itu didakwa berlaku kerana Lokman memarahi Muhammad Hafiz Hukmi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara kurang satu tahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon hukuman minimum dikenakan memandangkan dia mengaku bersalah dan mengalami penyakit kencing manis, darah tinggi serta masalah pendengaran.

Bagaimanapun, Sharifah Amirda Shasha memohon hukuman setimpal dikenakan supaya kes itu menjadi pengajaran.

Mohd Izuddin kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal membuat bayaran boleh dipenjara selama setahun.

Tiada ulasan: