"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suhu politik negara akan terus 'mendidih'

N Faizal Ghazali

Fenomena lompat parti dalam kalangan wakil rakyat mutakhir ini dilihat akan menyumbang kepada kitaran pertarungan politik yang berterusan, kata penganalisis politik Mazlan Ali.

Menurutnya ketidakstabilan majoriti kerusi antara parti pemerintah dan pembangkang akan membawa kepada usaha untuk saling memperkukuh kedudukan masing-masing kerana sifat wakil rakyat yang tidak stabil dari segi prinsip dan pegangan.

"Fenomena lompat parti atau tarik-menarik sokongan ini berlaku di kedua-dua belah pihak.

"Kita boleh lihat sebelum ini anggota parlimen Sri Gading (Shahruddin Md Salleh) keluar daripada Bersatu dan tiga anggota parlimen BN mengisytiharkan mereka tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Kemudian yang terbaru dua ahli parlimen PKR pula dilaporkan keluar parti dan memberi kepercayaan kepada PN, sekali gus dijangka akan mempengaruhi dan mengubah lagi situasi politik negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Pensyarah kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata demikian ketika diminta mengulas kesan langsung fenomena lompat parti terhadap senario semasa politik Malaysia.

Tambah Mazlan, susulan beberapa perubahan mutakhir ini tidak mustahil ia akan terus berlaku lagi dengan kemungkinan membabitkan kedua-dua blok.

"Adakah akan berlaku lagi lompatan ahli pembangkang kepada kerajaan PN? Ia tidak mustahil, dan tidak mustahil juga akan ada pula beberapa ahli parlimen BN yang akan menarik balik sokongan kepada kerajaan PN.

"Semua kemungkinan ini akan terus mewarnai politik negara dan situasi politik akan terus berada pada suhu takat didih," jelasnya.

Sementara itu pensyarah sains politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Muhammad Ariff Asyrul Adnan, berpendapat permasalahan yang berlaku kini menjadi simbol betapa tidak stabilnya politik di Malaysia.

Bagus untuk jangka pendek

Keadaan itu katanya mampu memberikan ancaman terhadap kelangsungan amalan demokrasi.

"Ia menjustifikasikan bahawa ahli-ahli politik di Malaysia tidak begitu mengutamakan soal kepentingan rakyat lebih-lebih lagi sekarang kita berhadapan dengan krisis kesihatan awam yang paling memberikan kesan kepada semua aspek sama ada negara dan rakyat.

"Jika fenomena melompat parti berlaku secara berterusan ia menunjukkan bahawa wakil rakyat hanyalah sibuk 'berpolitik' dan juga seakan-akan membelakangkan mandat diberikan pengundi di kawasan mereka wakili.

"Kita tahu Malaysia begitu kuat nilai politik kepartian dan rata-rata orang mengundi berasaskan pilihan terhadap parti.

"Seandainya berterusan ia akan mewujudkan pesepsi awam yang negatif terhadap peranan wakil rakyat khususnya di peringkat nasional," katanya yang berkhidmat di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM kampus Raub.

Dalam perkembangan sama penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia Prof Madya Rusdi Omar pula berpendapat, pandangan moral masyarakat terhadap wakil rakyat akan terjejas dan sedikit sebanyak orang akan hilang hormat.

"Jika situasi wakil rakyat pembangkang melompat kepada pihak kerajaan, kesan positifnya menggambarkan mereka diberi kepercayaan oleh wakil rakyat daripada pembangkang.

"Maksudnya wakil rakyat itu terkesan dengan apa yang kerajaan PN lakukan sehingga sanggup menyokong untuk memperkukuhkan lagi kerajaan.

"Tetapi perlu diingat untuk jangka masa pendek mungkin bagus kepada PN bagi kelangsungan kerajaan. Namun bagi jangka lebih panjang, ia tidak memberi jaminan yang utuh dan boleh menjurus terhadap keadaan yang terus tidak stabil.

"Amalan lompat-melompat ini kita tidak inginkan, dalam Islam sendiri pun. Ia memberi persepsi yang negatif dan menunjukkan bahawa ahli politik lebih mengutamakan politik berbanding menjaga kepentingan rakyat," ujarnya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tiada ulasan: