BAHA M. ISA
Persaingan antara Umno dan Bersatu telah memasuki episod baharu apabila kedua-dua parti itu seolah-olah telah memateri pendirian masing-masing berhubung isu kerjasama pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Umno sah tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU depan manakala Bersatu pula menyatakan parti itu fokus memperkasakan gerak kerja bersama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) iaitu Pas, Star, SAPP dan Gerakan.
Perkembangan ini merupakan hasil daripada pergeseran yang kian memuncak antara kedua-dua parti sejak sekian lama.
Umno dilihat lantang menolak kerjasama dengan Bersatu terutama menerusi pendirian 147 daripada 189 bahagian parti tersebut sebelum ini justeru, ‘penceraian’ Umno-Bersatu ini tidak dapat dielakkan lagi.
Sebagaimana dikatakan penganalisis politik, Profesor Wong Chin Huat kepada Sinar Harian, kedua-dua parti itu tidak mampu bersama untuk selama-lamanya.
Beliau berkata, hal tersebut disebabkan pasaran untuk Umno dan Bersatu adalah sama iaitu Melayu-Muslim yang lebih cenderung nasionalisme, tanpa pembahagian wilayah seperti yang wujud antara Umno dan PBB di Sarawak.
“Daripada zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sampai Tan Sri Muhyiddin Yassin, Bersatu memang berharap dapat pecahkan dan menyerap penyokong Umno.
“Umno pula harap dapat menyerap semula Bersatu sepertimana Semangat 46 diserap semula. Selain itu, kedua-dua parti inginkan jawatan Perdana Menteri,” katanya.
Perseteruan Umno-Bersatu ini dilihat akan membawa kepada pertandingan tiga penjuru pada PRU akan datang melibatkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Plus.
Pertembungan tiga penjuru ini seolah-olah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.
Apa akan jadi kalau berlaku tiga penjuru? Pastinya, akan berlaku banyak pertembungan kerusi antara Umno dan Bersatu pada PRU-15.
Ini terutama di kerusi di mana ahli Parlimen Umno keluar parti dan memasuki Bersatu selepas PRU-14 antaranya Jeli, Larut, Mersing dan Masjid Tanah.
Umno diramal akan terus dominan di kawasan-kawasan tradisinya memandangkan parti ini dikatakan memiliki banyak sokongan akar umbi organik dan masih merupakan jenama yang ‘dipercayai’ berbanding Bersatu.
Dalam masa sama, Bersatu yang kini menerajui Kerajaan PN, pasti akan berusaha memperbaiki prestasinya sebelum ini. Pada PRU-14, Bersatu hanya menang 13 kerusi berbanding 52 kerusi yang ditandinginya.
Apa yang pasti, kedua-dua parti akan giat bertungkus-lumus mahu menjadi parti yang lebih besar pada PRU-15, jika benar pertandingan tiga penjuru bakal menjadi penentu.
Jadi, apa bentuk kempen pilihan raya yang akan dijalankan Umno dan Bersatu? Apakah isu akan dibawa? Apa ‘manifesto’ yang akan diketengahkan kedua-dua parti? Siapakah calon Perdana Menteri mereka?
Pastinya, persaingan kedua-dua parti itu akan menjadi semakin menarik menjelang PRU-15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan