"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH sedia kerjasama dengan sesiapa yang lawan rasuah, salah guna kuasa - Adly Zahari

NASUHA RAHMAN

Gendang PRU15 semakin kuat kedengaran, ramai yang meramalkan PRU akan diadakan dalam masa terdekat sama ada Jun ini atau selepas itu. Setiap parti pasti ada strategi masing-masing. AMANAH pun apa kurangnya pasti ada perancangan teliti bagaimana menghadapai PRU nanti. Namun ada sesetengah pihak menyifatkan AMANAH adalah sebuah parti yang kecil tidak ada apa-apa berbanding parti-parti lain di sekelilingnya. Apatah lagi di usia yang masih muda, mampukah AMANAH untuk bersaing dengan parti lain?

Ya, AMANAH tidak kisah semuanya itu kecil atau besar sesebuah parti bukan perkara penting. Prinsip dan perjuangan AMANAH yang menjadi tunjang utama, perangi rasuah dan salah guna kuasa. Membawa suara rakyat menjadi agenda utama. Sesiapa sahaja boleh kerjasama asalkan prinsip ini dipegang bersama.

Benarkah semuanya itu, ADUN Bukit Katil yang juga bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari ada jawapannya. Ikuti wawancara Malaysia Dateline bersama beliau baru-baru ini.

MALAYSIA DATELINE (MD): Bagaimana YB melihat kerajaan Melaka pada hari ini berbanding di bawah pentadbiran YB sebelum ini? Apa kelebihan kerajaan YB dahulu berbanding dengan yang ada sekarang?

ADLY: Kerajaan Pakatan Harapan mempunyai halatuju yang jelas, janji kepada rakyat hampir 80% telah ditunaikan. Kerajaan sedia ada tanpa halatuju jelas terutama dalam meningkatkan ekonomi, pendidikan dan pembangunan negeri.

MD: Apa projek utama yang YB boleh banggakan?

ADLY: Dikala mentadbir, teras kita adalah menghilangkan kelaparan, kejahilan dan kedukaan rakyat. Antaranya adalah perumahan untuk rakyat. Hampir 100 rumah peduli telah diluluskan dan sebahagian telah diserahkan.

Rumah peduli adalah projek rumah percuma untuk rakyat. Di samping itu lebih 100 unit rumah berkat disedikan. Projek rumah berkat adalah kemudahan kepada pasangan yang baru berumahtangga dengan kadar sewaan RM150 sebulan.

MD: Selepas tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Menteri, apa cara YB bantu rakyat di kawasan YB?

Adly: Untuk kawasan DUN Bukit Katil pelbagai program disedikan. Bagi memudahkan perhubungan ketika COVID-19, pusat khidmat digital diperkenal melalui bukitkatil.my. yang merupakan pusat khidmat digital yang pertama di Malaysia.

Bantuan kebajikan berterusan, program interaksi anak muda melalui Bukit Katil Youth Challenge.

Di samping itu kami juga memperkenalkan Pertanian Untuk Dapur, dengan menggalakan masyarakat bertani di rumah bagi keperluan harian. Hampir 1000 pek benih sayuran disediakan untuk galakkan memulakan pertanian. Hampir 400 keluarga kurang upaya terus dibantu disamping semua masalah yang dibangkitkan rakyat dirujuk kepada pihak berwajib untuk penyelesaian.

Untuk bulan hadapan akan dimulakan kursus permulaan perniagaan online serta kursus masakan online untuk wanita.

MD: Ada yang kata AMANAH ini sebuah parti kecil yang tidak ada apa-apa. Apa komen YB?

ADLY: AMANAH mempunyai halatuju yang jelas, membawa politik nilai berdasarkan Islam. Besar atau kecil bukanlah perkara penting, yang paling utama adalah AMANAH kekal melawan salah guna kuasa dan rasuah, membawa suara rakyat dalam isu-isu yang ekonomi, pendidikan dan keselamatan negara.

Tuntutan Islam juga memberi keutamaan itu, yang akhirnya teras ini membawa suatu rahmat untuk semua tanpa mengira warna kulit sesuai dengan kemajmukan Malaysia. Islam agama yang majmuk sifatnya.

MD: Apakah AMANAH boleh bekerjasama dengan Umno dalam PRU akan datang?

Adly: AMANAH memegang prinsip rahmat untuk semua, yang dimusuhi amanah adalah nilai-nilai buruk dan amalan salah guna kuasa dan rasuah. Amanah bersedia bekerjasama dengan sesiapa sahaja selagi nilai dan prinsip ini menjadi tujuan utama kita.

MD: Apakah PH benar-benar bersatu dan bersedia untuk hadapi PRU-15?

ADLY: Dalam konteks Melaka PH memang mempunyai kesatuan yang baik, mesyuarat PH berjalan dengan baik, program bersama pimpinan PH negeri sentiasa diteruskan. Dalam konteks nasional, PH kekal bersatu.

Tiada ulasan: