"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

AMANAH jangan main politik dua kolam seperti diamalkan PAS

AMK saran Salahuddin muhasabah diri, elak politik bermuka-muka


Setiausaha Pemuda PKR (AMK) Syukri Razab menyarankan supaya Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub bermuhasabah diri dan menjauhi sikap politik bermuka-muka seperti parti lamanya - PAS.

Kenyataan itu hadir susulan teguran Salahuddin semalam yang mengatakan tidak manis untuk PKR menerima tiga bekas Adun Amanah, berdasarkan semangat setiakawan dalam Pakatan Harapan.

“Salahuddin kelihatan begitu 'terusik' apabila PKR menerima penyertaan mantan ahli Amanah, lalu Salahuddin sifatkan PKR sebagai tidak hormat semangat PH.

“Bagaimana pula sikap Salahuddin sendiri yang masih akrab dengan kelompok yang tidak pun mahu bersama dalam gabungan PH, malah kerap menyerang Presiden PKR (Anwar Ibrahim) secara terbuka?

“Salahuddin perlu bermuhasabah diri dan menjauhi sikap parti lama beliau yang gemar bermain politik bermuka-muka atau politik dua kolam - mahu bersama PKR tapi dalam masa yang sama masih tidak mahu keluar daripada kelambu Tun M (Dr Mahathir Mohamad),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kenyataan Salahuddin, Syukri berpandangan adalah “lebih tidak manis” bagi Ahli Parlimen Pulai itu beranggapan tindakan hijrah tiga Adun Amanah ke PKR secara negatif, kerana mereka bukan menyertai Bersatu, Umno atau Perikatan Nasional.

Semalam, dilaporkan bahawa tiga Adun Amanah dari Johor iaitu Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota) ke dalam PKR.

Tahun lepas, dua Adun Amanah dari Selangor, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (Meru) dan Ahmad Mustain Othman (Sabak) turut mengambil langkah serupa.

Untuk rekod, sebelum ini dilaporkan Amanah berdepan dengan konflik dalaman dipercayai berhubung isu hala tuju parti sama ada untuk cenderung kepada Anwar Ibrahim atau Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air, Dr Mahathir Mohamad.

Ia antaranya dikaitkan dengan pertemuan Mahathir, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah pada 29 Oktober lalu yang dikatakan membincangkan isu “kerajaan perpaduan”.

'Salahuddin wajar insaf sebelum serang PKR'

Mengulas lanjut, Syukri berkata Salahuddin sewajarnya berterima kasih kepada PKR kerana memberi pilihan alternatif kepada tiga adun tersebut untuk terus setia bersama PH.

“Apakah Salahuddin mahu PKR menolak penyertaan tiga Adun ini dan membiarkan mereka membeku dalam Amanah sedangkan jiwa mereka sudah tidak lagi bersama Amanah?" soalnya.

Dia turut menyifatkan Salahuddin seperti sedang keliru untuk membezakan antara rakan dan musuh berikutan kenyataannya itu.

Syukri menambah, Salahuddin boleh menyerang PKR jika parti itu menjalinkan hubungan dengan PAS, memandangkan PAS merupakan seteru politik Amanah.

Namun menurutnya, ia tidak berlaku sama sekali kerana PKR menghormati pendirian Amanah dan perkara yang sama perlu dilakukan oleh Amanah dengan tidak menjalankan hubungan dengan seteru PKR.

“Saya percaya sikap bermain dua kolam ini sedang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan ahli Amanah sendiri.

“Mungkin inilah yang menyebabkan berlakunya hijrah ahli Amanah ke dalam PKR yang dilihat lebih jelas dan tegas atas prinsip.

“Justeru Salahuddin Ayub wajar bermusabah dan insaf sebelum menyerang PKR,” katanya. 

Tiada ulasan: