"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Keabsahan sebagai PM isu amat sensitif bagi Muhyiddin’

ARIF ATAN

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan keabsahan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Perdana Menteri menjadi perkara amat sensitif bagi Presiden Bersatu itu.

Menurutnya, hal itulah yang membawa kepada penggantungan Parlimen sekali gus gagal melaksanakan proses perundangan Dewan Rakyat susulan perintah darurat.

Sehubungan itu, ujarnya, perkara yang akan dibahas apabila Parlimen kembali bersidang nanti ialah keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Kita mahu bincangkan perkara yang amat sensitif bagi Muhyiddin iaitu benar atau tidak beliau mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Keabsahannya sebagai Perdana Menteri, ini yang dia (Muhyiddin) tidak mahu. Itulah sebabnya dia gantung Parlimen.

“Dia isytihar darurat supaya Parlimen tidak bersidang,” tegasnya dalam slot Bicara YB Khalid Samad (Siri 98) menerusi JOMchannel Facebook Live bertajuk “Darurat: Parlimen Bersidang Kembali?” baru-baru ini. 

Dalam masa sama, beliau berkata, Muhyiddin akan melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk menutup saluran untuk menjatuhkannya.

Untuk rekod, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada masa ini hanya mempunyai 109 sokongan ahli Dewan Rakyat serentak dengan krisis politik yang meruncing antara Umno dan Bersatu. 

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional berpendapat Yang Di-Pertuan Agong telah menegur Muhyiddin berhubung sidang Parlimen semasa tempoh darurat.

“Itulah yang Agong tegur dia (Muhyiddin), darurat pun Parlimen boleh bersidang.

“Ada yang salah tafsir atau salah faham. Itu mungkin tuju kepada Muhyiddin. Tidak sebut nama, tapi mungkinlah,” katanya.

Pada 24 Februari lalu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuatkuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai atas nasihat Perdana Menteri.

Baginda menegaskan bahawa sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi yang berteraskan prinsip Keluhuran Perlembagaan, setiap cabang pentadbiran negara sama ada pihak Eksekutif, Kehakiman mahupun Parlimen haruslah sentiasa akur kepada prinsip tersebut.

Hal tersebut termaktub dalam sub perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Khalid mengingatkan keabsahan kuasa Perdana Menteri penting bagi mengelak rantaian masalah pada masa akan datang.

“Sebabnya kalau dia tidak sah segala perbahasan dan keputusan Parlimen adalah tidak sah kerana dipimpin dan diletakkan di bawah Eksekutif yang tidak sah,” tambahnya lagi.

Tiada ulasan: