"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: 'PN masih tak cukup nombor walau dua MP PKR lompat'

Malaysiakini 

Perikatan Nasional masih tidak memiliki nombor mencukupi untuk menguasai majoriti di Dewan Rakyat walaupun mendapat sokongan dua lagi ahli parlimen, dakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Katanya, pembangkang masih memiliki nombor yang diperlukan.

"Dengan dua (ahli parlimen) yang lompat dia masih minoriti.

"Saya nak tekankan jangan salah faham. Jauh jumlahnya kecil (sokongan MP kepada PN) banding dengan kita," katanya kepada pemberita di Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.

Ahad lalu, dua ahli parlimen PKR, MP Julau, Larry Sng, dan MP Tebrau, Steven Choong, berpaling tadah dan menyatakan sokongan terhadap PN.

Ini menggantikan dua ahli parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap PN pada bulan Januari.

PN meluluskan Belanjawan 2021 pada Dis lalu dengan 111 undi - majoriti sederhana daripada 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat.

Pun begitu, masih belum jelas sekiranya ahli parlimen Umno lain - terutama yang berpihak kepada presiden parti Ahmad Zahid Hamidi masih akan menyokong gabungan yang longgar jika Parlimen bersidang semula.

PN telah memotong peruntukan kawasan parlimen terhadap Zahid, Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak, dan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, Malaysiakini dimaklumkan sekutu Muhyiddin masih aktif 'berusaha untuk mendapatkan' sokongan ahli parlimen pembangkang dan dikatakan lebih ramai lagi akan mengikuti jejak dua MP PKR itu.

Anwar mendakwa agensi kerajaan seperti SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri 'digunakan untuk mengugut' ahli parlimen pembangkang supaya mereka berpaling tadah.

Sebelum ini, Anwar yang juga pemimpin pembangkang mendakwa antara 114 ke 115 ahli parlimen menentang darurat yang digerakkan kerajaan PN pada Januari.

Tiada ulasan: