"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganalisis jangka Umno berbaik semula dengan PPBM

Nicholas Chung

PETALING JAYA: Seorang penganalisis meramalkan Umno dan PPBM akhirnya akan saling bekerjasama sama ada sebelum atau selepas pilihan raya umum akan datang.

Bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan berkata, beliau tidak percaya Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi memberi kata dua menerusi suratnya baru-baru ini kepada Muhyiddin Yassin, yang menyatakan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PPBM dalam pilihan raya umum Ke-15 (PRU15) dan hanyaakan bekerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Parlimen dibubarkan.

Surat itu lebih kepada mengingatkan PPBM bahawa ia mesti memenuhi tuntutan Umno berbanding keputusan muktamad, menurut Azmi.

Sekalipun kedua-dua parti itu tidak bekerjasama pada PRU15, kata beliau, mereka masih boleh memutuskan untuk mengambil langkah tersebut selepas pilihan raya.

“Sekiranya Umno bergerak sendiri dan terdapat pertarungan tiga penjuru, baik Perikatan Nasional mahupun Umno atau Pakatan Harapan (PH) tidak akan mempunyai majoriti yang jelas untuk membentuk kerajaan,” kata beliau.

“Saya percaya, selepas keputusan PRU15 keluar, akan ada tawar-menawar antara ketiga-tiga entiti ini untuk melihat siapakah yang bersedia bergabung untuk membentuk kerajaan. Kemungkinan besar, PN dan Umno akan membentuk kerajaan.”

Azmi berkata, PPBM kelihatan tidak mempunyai pilihan selain menyerah kepada tuntutan Umno berkenaan pengagihan kerusi kerana parti Muhyiddin kekurangan sokongan akar umbi dan jentera pilihan raya yang cekap seperti Umno.

Kata beliau, Muhyiddin perlu memikirkan semula strategi PPBM sekiranya beliau berniat untuk membuat perjanjian dengan Umno sebelum Parlimen dibubarkan.

Tiada pihak yang mahukan pertembungan tiga penjuru pada PRU15, kata beliau.

“Pakatan Harapan akan menjadi penyumbang terbesar dalam pertarungan tiga penjuru dan parti yang akan paling banyak kalah adalah PPBM atau PAS. Walau dengan apa cara sekalipun, PPBM perlu mengelak berada dalam kedudukan ini,” kata beliau.

Penganalisis sosio-politik Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaya berkata, beliau tidak menjangkakan pilihan raya umum diadakan sebelum Umno mendapat sokongan PPBM.

Isu kerusi pengagihan tradisional mesti diselesaikan terlebih dahulu, kata beliau.

“Umno mahu bertanding di sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen, termasuk 55 yang dimenanginya pada PRU14,” kata beliau kepada FMT.

“Ini untuk memastikan kedudukan dominannya dalam kerajaan selepas pilihan raya.”

Beliau juga berkata, surat Zahid akan menggalakkan lebih ramai pemimpin Umno yang mesra PPBM meneruskan usaha mereka untuk menggulingkan presiden parti itu.

Pemilihan Umno dijadualkan berlangsung tahun ini.

Tiada ulasan: