"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tak mungkin’, penganalisis tolak khabar angin pemimpin profesional PAS mahu singkir Hadi

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik menolak khabar angin mendakwa golongan profesional dalam PAS mahu menyingkir Presiden Abdul Hadi Awang, menggambarkan ia sebagai melawan arus.

Kamarul Zaman Yusoff daripada Universiti Utara Malaysia mengingatkan ulama memimpin PAS dengan sokongan golongan profesional sejak 1982.

“PAS kalau mahu menukar presiden, ia perlu melalui Majlis Syura Ulama terlebih dahulu dan majoriti PAS dikuasai ulama,” katanya kepada FMT.

Malah, beliau percaya tidak mungkin pemimpin profesional seperti Naib Presiden Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan akan menentang Hadi, melihat kepada hubungan antara mereka.

“Mereka sangat rapat,” katanya.

Baru-baru ini muncul khabar angin tentang pertembungan antara “Geng Publika”, yang dikaitkan dengan golongan profesional dalam PAS dan dikatakan pro-PPBM, dengan “Geng Ustaz”, yang dikaitkan dengan golongan ulama dan dikatakan cenderung kepada kerjasama dengan Umno.

Beberapa nama dikaitkan dengan Geng Publika, seperti Samsuri dan Takiyuddin, serta Geng Ustaz seperti Pengarah Strategi Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ahli Jawatankuasa Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Khairuddin sebelum ini nafi wujudny gerakan terancang untuk menjatuhkan Hadi.

Sementara itu, bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain, tidak percaya golongan profesional akan mahu mengambil alih tampuk pimpinan PAS, memandangkan majoriti ahli mahu golongan ulama terus menerajui mereka.

Beliau juga percaya sebarang penentangan akan sukar menjatuhkan Hadi, terutama selepas beliau berupaya memberikan tempat dan kedudukan kepada pemimpin PAS yang lain dalam kerajaan.

“Hadi begitu ‘masak’ dengan politik dalaman parti itu, beliau dapat kawal keadaan,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Azmi Hassan, pula percaya sebarang perbezaan dalam PAS antara golongan profesional dan ulama tidak akan dinyatakan secara terbuka.

Beliau mengingatkan FMT bahawa PAS sinonim dengan kepimpinan ulama.

“Jadi, jika wujud komplot, ia tidak akan dibuat secara terang-terangan untuk menjatuhkan presiden kerana akar umbi sukar menerimanya,” katanya.

Dalam pada itu, Kamarul percaya pihak luar parti yang mencipta dakwaan adanya krisis dalaman PAS antara golongan profesional dan ulama.

Dakwaan itu semakin kencang, lalu menjadi “ribut” apabila ia disambut segelintir ahli PAS di peringkat bawahan,

“Keadaan ini menjadi lebih tegang dan mendapat perhatian kerana PAS tahun ini akan mengadakan pemilihan dalam parti,” katanya. 

Tiada ulasan: