FAZLI RADZI
Alasan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara Kumar untuk melawat anak-anak di New Zealand sehingga memohon cuti 55 hari mencetuskan tanda tanya.
Hal ini kerana pihak Imigresen negara itu hanya menyenaraikan lapan kategori individu dengan tujuan kritikal yang boleh melakukan perjalanan ke New Zealand semasa sempadan ditutup.
“Anda mungkin dapat melakukan perjalanan ke New Zealand semasa sempadan ditutup jika kami menganggap anda mempunyai tujuan penting untuk melakukan perjalanan,” dipetik dari laman web pihak berkuasa itu.
Semakan Malaysia Dateline mendapati kunjungan Santhara yang juga Ahli Parlimen Segamat itu dilihat sama sekali tiada berkaitan dengan mana-mana daripada lapan kategori tersebut.
Bagi kategori pasangan dan keluarga sekalipun, hanya individu yang merupakan warganegara Australia atau pemastautin tetap sahaja dibenarkan memasuki New Zealand.
“Dalam Permohonan untuk Melancong, anda akan diminta memberikan bukti hubungan anda dengan pasangan anda,” kata keterangan di laman web itu lagi.
Santhara dalam satu kenyataan hari ini memberitahu permohonan cutinya selama 55 hari bekerja disokong oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, pada 10 Disember 2020 dan diluluskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 18 Disember 2020.
Dia yang bukan dari kalangan pribumi pertama yang menjadi ahli bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, permohonan cuti tersebut berdasarkan kelayakan Cuti Rehat seperti ditetapkan dalam peraturan pelantikan beliau sebagai timbalan menteri, selain kelayakan Cuti Tanpa Gaji bagi cuti yang melebihi kelayakan Cuti Rehat.
Selain bertemu dengan dengan anak yang berusia sembilan tahun, dia juga mahu melawat anaknya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang serta menziarahi isteri yang mengalami masalah kesihatan.
Bekas pemimpin PKR berkenaan turut memaklumkan hampir setahun tidak berjumpa isteri dan anak-anaknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan