"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS boleh menang lebih banyak kerusi jika bersama Umno berbanding PPBM

Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Penganalisis politik berkata, PAS mampu memenangi lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang jika ia memilih untuk bekerjasama dengan Umno berbanding PPBM.

Bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia, Ahmad Atory Hussain berkata, masa depan PAS juga lebih cerah, khususnya untuk menguasai kawasan majoriti Melayu jika ia memilih bersama Umno memandangkan sokongan akar umbi parti itu lebih kuat berbanding PPBM.

“Tidak ada jaminan PAS boleh menambah kerusi kalau mereka bertanding tanpa sokongan Umno, sebaliknya Umno boleh menang lebih banyak kerusi Melayu sekalipun tanpa kerjasama dengan PAS khususnya di Pantai Barat berdasarkan keputusan PRU14,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, pertembungan antara Umno dengan PPBM juga belum tentu akan menguntungkan PAS dan kelebihan di sesetengah kawasan mungkin akan berpihak kepada Umno.

“Umno boleh menang lawan PPBM kerana undi Melayu berperpecah. PKR, pengundi Cina pasti tidak sokongan PPBM, begitu juga PAS,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama Umno dan PAS juga mampu menafikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dengan mudah di kawasan majoriti Melayu.

“Malah di kawasan campuran juga PH belum tentu boleh memang jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara PN, BN dan PH jika Umno/BN-PAS bekerjasama kerana sokongan kepada PH tidak sama seperti PRU14 ditambah PKR kini berpecah antara kem Mohamed Azmi Ali dan Anwar Ibrahim,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan terbaharu Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum ke-15 dan hanya menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen dibubarkan.

Keadaan dilihat rumit apabila PAS kekal dengan pendirian untuk memperkukuh Muafakat Nasional (MN) bersama Umno dan pada masa sama memperkasa PN bersama PPBM.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, yang juga bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia berkata, pertembungan antara Umno dengan PPBM ia tidak akan menguntungkan PAS kerana parti itu merupakan sebahagian daripada gabungan PN.

“Jikalau PAS mengambil keputusan untuk bersama PN, maka ia membawa maksud mereka akan bertembung dengan Umno.

“Ini kerana tidak boleh berlaku kerjasama Umno dengan PAS dan pada masa sama PAS berada dalam PN bersama PPBM.

“Umno mampu menafikan kemenangan PAS berbanding dengan PPBM. Maksudnya kalau PAS lawan PPBM, PAS ada peluang menang, tetapi jika PAS lawan Umno, maka sukar bagi parti itu.

“Umno mempunyai kekuatan tersendiri dalam kalangan pengundi Melayu,” katanya selain menambah bahawa PAS perlu membuat pilihan lebih baik iaitu bersama Umno berbanding PPBM.

Seorang lagi penganalisis politik, Jeniri Amir menyifatkan langkah Umno menghantar surat untuk tidak bekerjasama dengan PPBM terlalu awal akan merugikan parti itu dan membuka jalan kepada perpecahan sesama ahli, terutama sekali kerana tarikh PRU belum diketahui.

“Sepatutnya tidak diumumkan terlalu awal kerana ia mendatangkan pelbagai kesan dari segi hubungan Umno dan PPBM dan sudah pasti perdana menteri akan bertindak balas berhubung keputusan Umno itu.

“Ia lebih banyak merugikan Umno, dan akan mempengaruhi setiap keputusan kerajaan yang membabitkan kawasan Umno.

“Keputusan itu terlalu gopoh, sepatutnya ia dibawa ke Persidangan Agung Umno dulu dan dimuktamadkan di situ,” katanya.

“Bagaimanapun dalam situasi pertembungan Umno dengan PPBM, PAS akan mendapat kelebihan untuk menang lebih banyak kerusi jika pendekatan mereka memilih jalan tengah antara Umno dan PPBM.

“Ini kerana kerusi yang akan ditandingi PAS sudah pasti tidak akan bertembung dengan calon Umno dan PPBM.

“Malah jika ketiga-tiga parti, PAS, Umno dan PPBM bertembung kelebihan juga tetap ada kepada PAS kerana undinya tidak pecah. Yang pecah undi Umno dan PPBM,”katanya.

Tiada ulasan: