"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Analisis Ringkas PRN Melaka

Malaysiakini

SPR berkata kadar keluar mengundi untuk pilihan raya Melaka sebanyak 65.85 peratus.

Ini lebih rendah daripada 66.61 peratus pengundi yang mengundi pada pilihan raya Sabah tahun lepas.

Pakatan Harapan menyalahkan peratusan keluar mengundi yang rendah antara sebab prestasi buruk gabungan itu pada PRN Melaka kali ini.

PN harap BN tunai janji dalam manifesto PRN

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan besar mereka dan berharap kerajaan baru akan memenuhi semua janji yang dibuat dalam manifesto PRN Melaka.

Kata Muhyiddin, prestasi PN dalam pilihan raya ini menunjukkan gabungan yang dibentuk itu cukup hebat, namun masih belum meraih jumlah undi mencukupi untuk membentuk kerajaan baru.

Ramai calon PN telah mendapat undi yang signifikan terbukti menjadi pencabar besar kepada parti lain, katanya.

Menurutnya lagi, kajian akan dijalankan untuk menentukan langkah PN seterusnya dalam pilihan raya umum akan datang. 

Peniup semangat BN, harapan buat PN

Limpahan kejutan daripada kemenangan besar BN hari ini mungkin akan sampai ke Putrajaya dan memberi semangat kepada gabungan itu - serta Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob - ketika mereka membuat persediaan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketika ini BN sudah membuktikan bahawa sekurang-kurangnya di kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, Muafakat Nasional yang dijalin dengan dengan PAS adalah tidak relevan.

Pada masa sama, walaupun di atas kertas PRN ini kelihatan suatu tamparan hebat kepada Perikatan Nasional (PN), ia sebenarnya berjaya menembusi beberapa kerusi.

Pada masa sama PN mencatat kemenangan yang tidak dijangka di Bemban dan Sungai Udang yang suatu ketika dulu merupakan kubu kuat Umno.

Beberapa calon PN yang lebih popular - termasuk calon ketua menterinya Mas Ermieyati Samsudin - turut mencapai keputusan yang wajar dihormati.

Pilihan raya ini telah membolehkan PN meneliti ketahanan BN untuk mengesan kelemahan mereka, dan seperti dalam kes Bemban dan Sungai Udang, mereka memenanginya.

Zahid: Kerajaan BN akan perkenal enakmen antilompat parti

Dengan kemenangan besar BN, pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan komitmen untuk memperkenalkan enakmen antilompat parti

Zahid berkata ia merupakan salah satu daripada beberapa perkara yang akan dibawa dalam sidang pertama DUN bagi mewujudkan kestabilan politik.

"(Pertama) memperkenalkan enakmen antilompat parti dan pinda undang-undang berkaitan untuk tangani isu lompat dalam kalangan Adun," katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama BN sebentar tadi.

Dia juga berkata, mereka juga akan mengusulkan kerjasama antara wakil rakyat bagi membolehkan sidang DUN kekal sekurang-kurangnya selama empat tahun daripada tarikh sidang pertama.

Zahid menyifatkan kemenangan BN sebagai membawa erti yang beasr.

"Ianya memperlihatkan perubahan sikap rakyat khususnya pengundi Melaka yang kembali menyokong semula BN.

"Para pengundi dan rakyat Melaka telah beri mandat semula kepada BN untuk bentuk kerajaan negeri," katanya lagi.

Saifuddin puji pencapaian PN

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail menyuarakan rasa kagum dengan pencapaian PN dalam PRN kali ini.

Dia berkata, PN menunjukkan pencapaian yang baik walaupun sebagai gabungan yang baru dan pertama kali bertanding di semenanjung Malaysia.

"Prestasi mereka agak menarik...prestasi mereka tidak terlalu mengecewakan dengan jumlah undi yang agak signifikan khususnya di kawasan Melayu," katanya kepada pemberita.

Misalnya di Tanjung Bidara yang merupakan kubu kuat BM. Calon PN Mas Ermieyati Samsudin hanya tewas dengan perbezaan 364 undi.

PN juga menang di Sungai Udang yang juga kubu kuat BN, serta merampas Bemban daripada PH.

Ditanya berkenaan kemungkinan PKR tewas di Machap Jaya kerana tidak mencalonkan penyandangnya Ginie Lim, Saifuddin berkata ia merupakan salah satu daripada beberapa faktor.

PKR yang meletakkan 11 calon tewas di semua kerusi.

PKR, PAS dan Gerakan kecundang

PKR yang dipimpin Anwar Ibrahim yang meletakkan 11 calon dalam PRN kali ini gagal menang walau satu kerusi. Anwar juga merupakan pengerusi PH.

PKR hampir menang di Paya Rumput. Bagaimanapun calonnya, Shamsul Iskandar Md Akin tewas di tangan calon BN, Rais Yasin.

Pada PRU 2018, PKR menang tiga kerusi DUN.

Sementara itu, dua komponen PN iaitu PAS dan Gerakan, yang mengambil keputusan untuk bersama-sama Bersatu yang dipimpin Muhyiddin Yassin berbanding BN, juga pulang dengan tangan kosong.

PAS bertanding di lapan kerusi manakala Gerakan di lima kerusi.

Tiada ulasan: