"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Takkan bila menang mahu ‘makan bersama’, soal Tok Mat

MALAYSIA DATELINE

Tiada keperluan untuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan, menegaskan BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN PN sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

“Saya berpandangan, tiada keperluan mereka (ADUN PN) berada dalam barisan Exco Melaka.

“Kalau bertanding tidak bersama, takkan bila menang mahu ‘makan bersama’? Saya mahu tanya apa keperluannya, bila kita buat sesuatu mesti ada keperluan,” dipetik BH.

Mohamad yang mesra dipanggil Tok Mat berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Sembilan di Seri Sendayan, malam tadi.

Untuk rekod, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menyaksikan BN menguasai 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Pakatan Harapan (PH) dan PN masing-masing lima dan dua kerusi.

Mengulas lanjut, Tok Mat yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, bukan menjadi satu hal yang canggung jika persefahaman dan kerjasama antara parti berlaku di peringkat Persekutuan namun tidak pula di peringkat negeri.

“Terdapat di beberapa negara lain, di peringkat Kerajaan Persekutuan, mereka bersama tetapi di negeri mereka tidak bersama. Itu bukan satu kejanggalan dan bukan baharu tetapi di Malaysia ia kali pertama.

“Jadi, kalau tidak ada apa-apa buat apa mahu pening-pening kepala, kalau kerajaan Melaka membentangkan, saya akan tanya, kalau mereka boleh nyatakan dan memaklumkan ada keperluan itu (lantik Exco) kita setuju.

“Kita juga tidak mahu buat ia sukar untuk mana-mana pihak, tetapi justifikasinya mesti ada,” tegasnya yang juga Pengarah Pilihan Raya BN itu lagi.

Kerajaan negeri Melaka belum memutuskan kedudukan dua ADUN baharu PN sama ada akan menyertai barisan Exco atau sebaliknya.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, Barisan Nasional BN akan melakukan perbincangan bersama pucuk pimpinan sebelum membuat keputusan.

Menurutnya, PRN Melaka menyaksikan BN bertanding solo walaupun pentadbiran pusat masih di bawah kerjasama PN.

Senarai barisan Exco Kerajaan Negeri dijadualkan akan diumum pada minggu ini.

Tiada ulasan: