"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib PM 10, penentuan ya 10 Dis

Shahbudin Husin 
Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang sudah beberapa kali menyebut Najib Razak akan muncul sebagai PM10 jika UMNO menang lagi dalam PRU15 akan datang.

Walaupun Najib terlihat agar hairan kenapa namanya sering dijaja oleh Lim Kit Siang, tetapi belum pernah sekali pun lagi beliau menafikan dirinya ingin jadi Perdana Menteri buat kali kedua.

Maknanya, secara tidak langsung dalam hati Najib sendiri memang tersemat keinginan untuk jadi Perdana Menteri sekali lagi.

Kalau betul tidak mahu lagi jadi Perdana Menteri, tentulah tiada masalah untuk beliau berterus-terang mengatakan tidak berhasrat lagi kepada jawatan tersebut.

Di waktu yang sama, dalam UMNO sendiri bukanlah rahsia lagi tentang wujudnya keinginan kelompok tertentu yang mahu beliau jadi Perdana Menteri buat kali kedua setelah dijatuhkan pada PRU 2018 yang lalu.

Soalnya, bolehkah Najib jadi Perdana Menteri lagi?

Seorang bekas menteri memberi reaksi dengan berkata, dulu ramai yang menyebut, kalau Tun Abdullah Badawi boleh jadi Perdana Menteri, bermakna sesiapa juga tidak mustahil jadi Perdana Menteri.

Kini katanya, dengan Ismail Sabri Yaakob yang pengalamannya lagi di bawah daripada Tun Abdullah Badawi pun boleh jadi Perdana Menteri, lagilah tidak mustahil untuk sesiapa saja untuk memegang jawatan itu, termasuk Najib buat kali kedua.

Turut tidak mustahil kata bekas menteri itu lagi, jika sebelum ini Tun Mahathir Mohamad berupaya menjadi Perdana Menteri buat kali kedua melalui parti yang berbeza berbanding keberadaannya sebagai Perdana Menteri pada kali pertama, Najib mungkin mencatat rekod dua kali sebagai Perdana Menteri melalui parti yang sama iaitu UMNO.

Di Malaysia ini macam-macam boleh jadi, tambah beliau.

Namun demikian, sama ada Najib berupaya muncul kembali sebagai Perdana Menteri buat kali kedua atau tidak, ia sebenarnya banyak ditentukan pada tarikh 8 Disember depan.

Najib sebelum ini telah dihukum bersalah oleh Mahkamah Tinggi berkaitan kes rasuah SRC International dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.

Beliau bagaimanapun dibenar merayu ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan hukuman tersebut dan 8 Disember ini telah ditetapkan sebagai tarikh untuk hakim memberikan keputusannya.

Jika pada 8 Disember ini rayuannya diterima oleh Mahkamah Rayuan dan beliau dilepaskan daripada hukuman itu, maka cerahlah harapan Najib untuk menjadi calon PM10 mewakili BN jika PRU15 diadakan pada tahun depan misalnya.

Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO pastinya lebih selesa meletakkan Najib sebagai calon Perdana Menteri, walaupun Ismail Sabri sedang menduduki jawatan itu sekarang ini.

Tetapi, kalau rayuannya ditolak dan hukuman bersalah itu kekal di peringkat Mahkamah Rayuan, hasratnya mengejar jawatan Perdana Menteri buat kali kedua boleh dikata telah terpadam dengan sendirinya.

Meski biasanya Najib akan terus dibenar merayu ke Mahkamah Persekutuan selepas itu, namun pengekalan hukuman bersalah di peringkat Mahkamah Rayuan akan menghalangnya daripada bertanding lagi sebagai Ahli Parlimen di Pekan.

Tanpa dibenar bertanding dalam PRU15, bermakna tiada lagilah peluang Najib untuk menjadi Perdana Menteri bagi kali kedua.

8 Disember – selain Najib dan penyokongnya yang berdebar menanti tarikh itu, tidak terkecuali Ismail Sabri juga pastinya turut berdebar sama menunggunya. – ShahbudinHusin 24/11/2021.

Tiada ulasan: