"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemimpin Umno lawat kawasan PH cetus spekulasi PRN Johor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tanda-tanda kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) Johor diadakan tidak lama lagi bertiup kencang selepas Naib Presiden Umno, Khaled Nordin mengunjungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Jaya semalam.

Spekulasi itu bertambah hangat selepas Khaled berkongsi gambar bersama Sultan Johor, ketika beliau menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam di Facebooknya.

Dalam catatan Facebooknya, Khaled berkata, beliau meninjau persiapan jentera pusat daerah mengundi (PDM) Keembong di DUN Johor Jaya, yang dikuasai pembangkang, Pakatan Harapan (PH).

Walaupun DUN Johor Jaya dikuasai pembangkang, katanya, ahli Umno kekal setia dan bekerja keras untuk memastikan Barisan Nasional (BN) dapat menawan semula kerusi berkenaan.

“Saya juga tekankan kepada MCA bahawa sangat penting mereka bekerja kuat dan memainkan peranan membawa semula pengundi kaum Cina kembali kepada BN,” katanya.

Pada masa sama, Khaled menegaskan kepada ahli parti berhubung pendirian jelas dan tidak berubah Umno melalui BN ketika pilihan raya.

“Umno melalui BN akan bertanding solo dan tidak akan bekerjasama dengan mana-mana pihak yang tidak bersama BN.

“Melalui BN dominan dan kembali mentadbir, kita dapat kembalikan kestabilan dan kesejahteraan kepada rakyat.”

Dalam pada itu, Khaled menafikan motif terselindung dalam perkongsian gambar dirinya bersama Sultan Johor di media sosial semalam.

“Sebaliknya, ia sekadar perjumpaan biasa dengan baginda Tuanku Sultan Ibrahim bagi membincangkan isu negeri, termasuk banjir,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Dalam kapsyen yang disertakan bersama gambar itu, pemimpin Umno itu menjunjung kasih kerana diperkenan untuk menghadap Sultan Johor bagi bertanya khabar selepas lama tidak menghadap baginda.

Khabar angin berhubung PRN Johor timbul tidak lama sejurus kematian ADUN Kempas, Osman Sapian, daripada Bersatu pada 21 Dis lalu. Pemergian Osman menyebabkan kerajaan negeri memerintah hanya dengan kelebihan satu kerusi majoriti di DUN Johor.

Tiada ulasan: