"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adakah undian pindaan akta penyakit berjangkit cetus PRU awal?

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Ketegangan semakin memuncak dalam Umno apabila satu pihak berharap dapat mencetuskan pilihan raya umum (PRU) dengan menentang rang undang-undang yang mungkin diundi oleh Dewan Rakyat pada Mac.

Orang dalam Umno berkata, beberapa Ahli Parlimen dari partinya mungkin tidak menyokong pindaan kontroversi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Ini mungkin makin melemahkan kedudukan Perdana Menteri,” katanya kepada FMT.

“Ada yang mungkin merasakan bukan mudah untuk PRU diadakan pada pertengahan tahun ini, tetapi lebih mudah untuk memaksanya (diadakan) jika kepimpinan kekal lemah.”

Keretakan dalam Umno dikatakan semakin mendalam antara pihak yang menyokong Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dan satu pihak lagi menyebelahi presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi.

Secara tradisinya, dalam kerajaan Barisan Nasional (BN), Perdana Menteri adalah juga Presiden Umno. Bagaimanapun, ekoran permainan politik antara Umno dan Bersatu baru-baru ini, Ismail, iaitu Naib Presiden Umno, dinamakan sebagai Perdana Menteri.

Namun, kuasa dalam parti kekal di tangan presiden, yang mempunyai kata putus dalam pemilihan calon bagi sebarang pilihan raya.

Semasa Putrajaya ditadbir Bersatu pimpinan Muhyiddin Yassin dari 2020 hingga Ogos 2021, beberapa Ahli Parlimen Umno secara terbuka menyokong beliau, memecahkan Umno kepada dua puak.

Ahli Parlimen Umno yang menyokong Muhyiddin dikatakan berasa tidak senang kerana bimbang Zahid mungkin mahu menghapuskan saingannya dalam parti.

Justeru, mereka dan pihak lain yang menyokong Ismail mahu PRU diadakan tahun depan selepas pemilihan parti dengan harapan Ismail akan diundi sebagai presiden parti.

Sementara itu, orang dalam Pakatan Harapan (PH) berkata, gabungan yang terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Upko itu tidak mencapai persetujuan sama ada akan terus menyokong Ismail bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani September lepas.

Orang dalam DAP berkata, Ahli Parlimen dari partinya terperangkap dalam kedudukan yang sukar kerana bawah MoU, mereka akhirnya mendapat peruntukan RM3.5 juta setahun bagi kawasan mereka.

“Namun kami juga tidak selesa kerana terikat dengan kegagalan kerajaan,” katanya merujuk kepada kemarahan terhadap kerajaan baru-baru ini ekoran beberapa perkara, seperti kelewatan tindak balas ketika bencana banjir melanda dan kontroversi yang menyelubungi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau berkata, rakyat mula merasakan bahawa “PH tiada tulang belakang” untuk membantah kerajaan, sekaligus melemahkan sebarang kemungkinan semak dan imbang yang betul.

Orang dalam PKR memberitahu FMT, masih tidak jelas sama ada pemimpin parti itu, Anwar Ibrahim, bercadang untuk membatalkan MoU.

Bagaimanapun, katanya, Ahli Parlimen PH mungkin tidak akan menyokong pindaan Akta 342 itu.

“Jika kita sokong Akta ini, kita mungkin akan kehilangan sokongan akar umbi dan hadapi kemarahan pengundi,” katanya.

Rang undang-undang itu mencadangkan denda maksimum RM10,000 dikekalkan bagi kesalahan bawah Akta 342, tetapi kompaun maksimum bagi syarikat dikurangkan separuh kepada RM500,000.

Ini bagi memastikan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Pada masa ini, semua denda kompaun yang dikeluarkan bawah akta itu tertakluk kepada had RM1,000.

Tiada ulasan: