"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi kesal di Malaysia hukum Islam boleh dibatal dengan undang-undang ciptaan manusia

FMT Reporters

PETALING JAYA: Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, kesal Perlembagaan tidak ditafsirkan mengikut kefahaman Islam sehingga agama yang di bawah naungan raja-raja “tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia”.

Beliau berkata demikian susulan kontrovesi pengislaman tiga anak tanpa kebenaran ibu mereka oleh Jabatan Agama Islam Perlis yang di lihat bercanggah dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018.

“Kini terserlah bahawa agama Islam yang dikatakan di bawah naungan raja-raja melalui pentadbiran khusus, yang dinamakan Majlis Agama Islam tidak boleh bertindak mengatasi undang-undang ciptaan manusia. Bahkan, hukum yang nyata daripada hukum Islam boleh dibatalkan oleh mahkamah dan para hakimnya,” kata Hadi dalam Harakahdaily.

“Lebih malang lagi, perkara tersebut melibatkan individu yang beragama Islam disebabkan mereka mengikut buku perlembagaan yang ditulis sebegitu rupa. Hal ini demikian kerana, perkataan agama dan Islam ditafsirkan daripada perkataan Bahasa Inggeris dengan istilah ‘religion’, bukan dengan makna ‘al-din’ mengikut Bahasa al-Quran,” tambah beliau.

Hadi tidak merujuk secara langsung kepada kes pengislaman tiga beranak bawah umur yang dilakukan dengan hanya kebenaran ayah mereka, oleh pihak berkuasa Islam Perlis.

Ibu mereka, Low Siew Hong, yang bukan beragama Islam, membantah tindakan itu. Awal minggu ini beliau memperolehi perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk hak penjagaan penuh kembar perempuan berumur 14 tahun dan anak lelaki berusia 10 tahunnya.

Beliau juga dilaporkan mungkin mengambil tindakan mahkamah lanjut untuk membatalkan pengislaman tiga anaknya dengan menggunakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membabitkan kes Indira Gandhi. Ketika itu mahkamah tertinggi negara itu menetapkan kebenaran kedua-dua ibu dan bapa wajib untuk menukar agama anak mereka kepada Islam.

Bagaimanapun Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin menegaskan pengislaman tiga kanak-kanak itu sah di sisi undang-undang syariah negeri itu yang hanya memerlukan kebenaran ibu atau bapa, bukan kedua-duanya.

Hadi berkata walaupun Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama persekutuan, ia masih ditafsirkan berdasarkan Bahasa Inggeris, walaupun dalam hal yang melibatkan kepentingan Muslim.

“Walaupun teks asal Perlembagaan tersebut (adalah) dalam Bahasa Inggeris, namun apabila kita telah mencapai kemerdekaan sepatutnya terpulang kepada kita sendiri untuk mentafsirkannya dengan bahasa kita mengikut kefahaman agama yang kita anuti,” kata Hadi.

Dalam pada itu, Hadi juga menegaskan “Islam wajib dimuliakan mengatasi segala agama, ideologi dan ajaran yang lain, sehingga Islam berkuasa memerintah dalam sebuah negara berdaulat”.

“Bahkan, juga dalam seluruh kehidupan manusia dan segala urusannya, kerana hanya Islam adil untuk semua,” kata beliau.

Hadi memuji beberapa hakim lalu seperti Salleh Abbas, Ahmad Fairuz dan Hashim Yeop “memahami” apa yang tersirat dalam Perlembagaan, dan mentafsirkannya dengan “fikiran yang merdeka daripada perlembagaan yang dibelenggu atau digari oleh penjajah”.

“Akan tetapi kepada mereka yang jahil atau terlepas pandang terhadap perkara tersebut, perlulah menyedari betapa bahaya dunia dan akhiratnya apabila mereka melangkah kekuasaan Allah,” kata beliau.

Tiada ulasan: