"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah beri Najib 14 hari bagi dedahkan AS$681 juta aset 1MDB

Hidir Reduan Abdul Rashid

Najib Razak diberi masa 14 hari dari tarikh penyampaian injunksi Mareva untuk membuat pendedahan bertulis kepada 1MDB mengenai lebih AS$681 juta dalam aset.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, tidak jelas sama ada perintah mahkamah - yang dikeluarkan dua hari lalu berhubung tindakan sivil RM23 bilion oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya terhadapnya - telah disampaikan kepada bekas perdana menteri itu atau belum.

Tempoh masa 14 hari itu adalah antara terma dalam injunksi Mareva yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua hari lalu, bagi mengekalkan status quo antara pihak dalam tindakan undang-undang, sementara menunggu tindakan sivil itu diselesaikan.

The Edge sebelum ini melaporkan bahawa kesan daripada perintah itu ialah Najib - yang juga pernah menjadi pengerusi lembaga penasihat 1MDB - diarahkan untuk tidak melupuskan mana-mana bahagian aset AS$681 juta - sama ada di Malaysia atau di luar negara.

Kesan lain daripada perintah itu ialah bekas menteri kewangan itu hanya dibenarkan mengeluarkan sehingga RM100,000 sebulan daripada akaun banknya untuk menampung perbelanjaan atau perbelanjaan sara hidupnya.

Najib sebelum ini berhujah bahawa AS$681 juta yang masuk ke dalam akaun banknya adalah derma daripada keluarga diraja Arab dan ia telah dipulangkan.

Injunksi Mareva yang dikeluarkan adalah berhubung satu daripada 22 saman sivil yang dilancarkan 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International tahun lepas, menyasarkan mereka yang didakwa menipu dua entiti milik kerajaan itu, sama ada secara sedar atau tidak.

Dalam tindakan sivil ketika ini, plaintif ialah 1MDB dan empat anak syarikatnya - 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, dan Global Diversified Investment Company Limited yang berpangkalan di British Virgin Islands (yang sebelum ini dikenali sebagai 1MDB Global Investment Limited).

Najib disenaraikan sebagai defendan pertama dalam kalangan lapan defendan dalam saman sivil RM23 bilion itu di mana mahkamah memberikan injunksi Mareva.

Menurut salinan perintah injunksi Mareva, Najib dikehendaki mengesahkan dalam afidavit kepada 1MDB dan empat anak syarikatnya, nilai, lokasi dan butiran aset.

"Bahawa defendan pertama (Najib), mestilah membuat pendedahan secara bertulis kepada plaintif pertama dan plaintif kelima berkenaan dengan aset-asetnya sehingga pada nilai AS$681,000,000, sama ada di dalam atau di luar Malaysia, sama ada di bawah namanya sendiri atau tidak, dan sama ada milikan secara tunggal atau secara bersama (dengan Defendan-Defendan yang lain atau sebaliknya), dan di bawah penerima-penerima namaan (‘nominees’) yang memegang bagi pihaknya, memberikan nilai, lokasi dan segala maklumat berkenaan dengan aset-aset dan maklumat tersebut hendaklah disahkan melalui suatu afidavit dan hendaklah disampaikan kepada peguamcara plaintif pertama dan plaintif kelima dalam masa empat belas (14) hari selepas perintah ini disampaikan kepada Defendan Pertama," kata perintah itu.

Malaysiakini cuba menghubungi peguam Najib untuk mengetahui sama ada perintah mahkamah itu telah disampaikan kepadanya atau belum.

Mahkamah telah menetapkan 21 Feb untuk mendengar hujah Najib jika dia cuba mengetepikan injunksi Mareva.

Pada Julai 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi pertuduhan rasuah berkaitan RM42 juta yang diterimanya daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan Najib pada 8 Dis 2021. Najib sedang menunggu rayuannya terhadap keputusan yang akan didengar di mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan.

Tiada ulasan: