"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zuraida tunggu keluar atau dikeluarkan Bersatu?

Mohsin Abdullah

Zuraida Kamaruddin jarang “make the news”, walaupun memegang jawatan menteri sama ada dalam pentadbiran Muhyiddin Yassin mahupun Ismail Sabri Yaakob.

Namun, bila beliau mendapat perhatian umum melalui media massa dan media sosial, lazimnya ia merupakan “liputan yang kurang me2nyenangkannya”. Pendek kata “negatif”.

Contoh: Semasa hari-hari awal pandemik Covid-19 dulu, Zuraida selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dipersenda serta dibidas pelbagai pihak kerana arahannya menyembur ‘sanitizer’ ke atas jalan raya yang dianggap “kerja sia-sia dan membazir”.

Beliau juga dituduh cari publisiti murahan kerana menyertai satu operasi sanitasi lengkap dengan sut peralatan perlindungan diri – PPE – dengan pelindung muka tertera perkataan “MENTERI”.

Ada juga ketika beliau mengenakan pelindung muka tanpa memakai pelitup muka, lantas ‘dibelasah’ orang ramai .

Baru-baru ini beliau ditertawa dan dikritik kerana kenyataannya mengenai Orang Utan meskipun menjelaskan beliau “bergurau” semasa kata apa yang beliau kata mengenai haiwan itu. Sebenarnya ada macam-macam hal lagi tetapi cukuplah sekadar itu.

Cuma sekarang khalayak sedang disajikan dengan beberapa laporan mengenai Zuraida dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang baharu ditubuhkan. Ini bagi saya perlu diberi perhatian kerana mengambil kira keadaan politik negara yang terus berkeramok dan berserabut.

Tentu anda sudah baca laporan yang mengaitkan Zuraida dengan PBM. Ringkasnya spekulasi timbul beliau akan tinggalkan (atau dipecat?) Bersatu pimpinan untuk menyertai PBM.

Zuraida sudah pun dikeluarkan daripada WhatsApp grup pimpinan tertinggi Bersatu, yang turut disertai presidennya Muhyiddin Yassin.

Beliau juga dilaporkan sudah lama “memencilkan diri” daripada Bersatu dan tidak menghadiri mesyuarat penting parti. Zuraida pula berkata tugasnya sebagai menteri tidak mengizinkan beliau menghadiri mesyuarat Bersatu.

Sekarang beliau akan luangkan masa untuk parti. Sehingga ini, kata beliau, tidak ada apa-apa pemberitahuan kepadanya daripada Bersatu. Oleh itu beliau akan terus duduk dalam Bersatu seperti biasa. ‘Business as usual’ gamaknya.

Melihat apa yang dilaporkan dan apa yang beliau katakan, kini saya teringat apa yang berlaku pada hari-hari terakhir Zuraida dalam PKR sebelum masuk Bersatu. Imbau ketika itu beliau selaku Naib Presiden PKR bersama Timbalan Presiden Azmin Ali berperang dengan Anwar Ibrahim.

Zuraida juga ketika itu tidak menghadiri mesyuarat penting pimpinan PKR atas alasan sibuk dengan tugasan lain (akhirnya beliau bersama Azmin dipecat PKR). Kata-kata dan tindakan beliau ketika itu dalam PKR sama dengan apa yang beliau kata dan lakukan sekarang dalam Bersatu. Adakah sejarah akan berulang? Waullahualam.

Ura-ura Zuraida menyertai PBM tidak lah memeranjatkan. Sebilangan besar ahli parti itu datangnya dari Penggerak Komuniti Negara sebuah NGO yang dikaitkan dengan beliau. Beberapa pemimpin PBM pernah menganggotai PKR dan menyebelahi tim Azmin – Zuraida. Malah setiausaha agung penaja PBM, Nor Hizwan Ahmad ialah bekas setiausaha politik Zuraida. Beliau keluar Bersatu Disember lalu untuk menyertai PBM.

Menurut laporan akhbar 12 Disember 2021, Zuraida diberitakan “bersedia mempertimbangkan pelawaan untuk mengetuai PBM tetapi “pada masa ini (yakni Disember lalu) belum menerima sebarang jemputan” daripada PBM.

Sebab itu saya nyatakan tadi bukan sesuatu yang memeranjatkan Zuraida dikaitkan dengan penyertaan PBM – berdasarkan perkembangan yang ditulis diatas.

Imbau lagi. Selepas Zuraida dan tim Azmin memainkan peranan dalam rampasan kuasa Langkah Sheraton, beberapa orang kanan mereka ada berbisik-bisik mengenai penubuhan sebuah parti baharu yang akan dipimpin Azmin.

Parti itu bagi menampung mereka dan juga saki baki penyokong mereka yang tersangkut dalam PKR. Ketika itu Azmin dituduh mengabaikan kumpulan itu terutama penyokongnya yang bukan Melayu.

Jelas mereka memerlukan sebuah parti yang boleh menerima keahlian rakyat semua bangsa dan agama. Ini tidak terlaksana.

Ada juga dihebohkan tim Azmin-Zuraida akan menyertai Gerakan yang sudah meninggalkan BN selepas kekalahan PRU14 pada 2018. Waktu itu saya ada bertanya Presiden Gerakan, Dominic Lau, tentang kemungkinan itu .

Lau meskipun mengalu-alukan pendatang baharu ke partinya, tetap menegaskan Gerakan ada perlembagaan dan peraturan tertentu yang wajib dipatuhi. Dalam erti kata lain, tanpa menyebut nama, beliau membayangkan kepada saya, Azmin tidak boleh menjangkakan masuk Gerakan terus ambil jawatan Presiden sementara timnya duduk jawatan tertinggi parti.

Apa pun Azmin dan tim tidak masuk Gerakan jika benar mereka ada pernah berhasrat demikian.

Akhirnya mereka menyertai Bersatu pimpinan Muhyiddin. Bukan lah rahsia besar ada pihak tertentu dalam Bersatu yang tidak berkenan dengan Azmin, Zuraidah, dan rakan-rakan.

Azmin khususnya diawasi dengan syak dan curiga kerana dianggap bercita-cita bukan untuk hanya mahu jadi Presiden parti tetapi mahu duduk kerusi Perdana Menteri.

Ramai pemerhati politik kerap bercakap mengenai “persaingan” atau “rivalry” Azmin dengan Hamzah Zainudin, setiausaha agung Bersatu.

Apa pun, Azmin dan Zuraida “selesa” dalam Bersatu. Sekurang-kurangnya begitulah gambaran luaran yang dipertontonkan untuk umum sehingga kini.

Dua hari lalu, FMT melaporkan Zuraida dijangka keluar Bersatu April ini dan masuk PBM sebelum PRU15. Itu kata FMT menurut sumber. Kata sumber itu lagi Zuraida “memilih” April untuk keluar Bersatu kerana mengambil kira jangkaan kerajaan akan membentangkan rang undang-undang anti-lompat parti ketika itu.

Andainya apa yang dijangka menjadi kenyataan persoalan susulan ialah bagaimana pula Azmin? Adakah akan menyusul? PBM ada menyebut ramai orang PKR yang masih “sayang” Azmin akan keluar parti untuk masuk PBM.

Adakah mereka akan “bersatu” dengannya apabila Azmin keluar Bersatu ?

Jika Azmin dan Zuraida bukan lagi ahli Bersatu, bagaimana hubungan mereka dengan kerajaan pimpinan orang Umno tetapi turut dianggotai Bersatu dan PAS antaranya? Bagaimana kedudukan mereka dalam Kabinet?

Sehingga artikel ini ditulis Azmin tidak mengeluarkan reaksi. Cuma Zuraida memberi respon seperti yang ditulis tadi. Tidak mengesahkan, tidak juga menafikan.

Kedudukan mereka tentu ada kaitan dengan persoalan besar iaitu ke mana PBM akan bergerak.

Dalam lain pengertian, blok politik mana akan mereka sertai. BN? Tidak mungkin walaupun diakui tidak ada yang mustahil dalam politik. Tetapi umum tahu orang Umno bukanlah peminat Azmin.

Begitu juga Pakatan Harapan. Mereka tidak lupa apa yang dilakukan Azmin (dan Zuraida dan lain-lain) sehingga mereka tumbang dan digantikan kerajaan yang masuk menerusi pintu belakang atau tebuk atap kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Mungkin PBM akan cuba nasib mewujudkan gabungan baharu bersama Pejuang, Warisan, dan MUDA? Akan tetapi ramai dalam Pejuang percaya Azmin telah tikam belakang pengasas mereka Mahathir Mohamad ketika berlakunya Langkah Sheraton Februari 2020. MUDA pula, berdasarkan perkembangan menjelang PRN Johor, agak lebih mesra PH.

Lalu yang ada PN. Namun PN diterajui Bersatu. Adakah mereka rela terima orang yang tinggalkan mereka dan datang dengan sebuah parti baharu?

Atau mahu menjalin kerjasama dengan parti baharu Parti Kuasa Rakyat pimpinan Kamarazaman Yaakob abang kepada Ismail Sabri Yaakob Perdana Menteri sekarang? Atau berbaik dengan Putera yang dipimpin Ibrahim Ali dan banyak lagi parti kecil lain? Adakah yakin mereka cukup kuat untuk menghadapi PRU15?

Seribu satu persoalan seribu satu kemungkinan. Yang pasti PBM tidak boleh hidup seorang untuk hidup. Mesti cari geng. Zuraida tahu semua ini. Apa lagi bosnya, Azmin .

Tiada ulasan: