"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kalau sumpah pemimpin Pas lompat masuk DAP lagi bagus’

FAZLI RADZI

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mengaitkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan ahli sihir.

Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berpendapat jika benar Zahid ahli sihir adalah lebih baik beberapa pemimpin Pas disumpah jadi ‘katak’.

Beliau menegaskan negara ini akan aman jika hal tersebut menjadi kenyataan.

“Ia bermula, bila Ustaz Hadi kata, Umno ibarat itik yang patah kaki. Lantas Zahid menyindir Hadi, supaya jadi ahli zoologi. Ketua Pemuda Pas berang dan tuduh Zahid ahli sihir.

“Kalau betul Zahid ahli sihir, elok sumpah sahaja beberapa pemimpin Pas jadi katak supaya senang mereka lompat masuk Bersatu. Kalau lompat masuk DAP lagi bagus. Aman Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menyelar kenyataan Ahmad Zahid yang menyindir dengan mengesyorkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menukar kerjaya daripada ahli politik kepada ahli zoologi.

Katanya, walaupun kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini diketahui kepada siapa ia dituju tetapi Pemuda Pas tidak bingkas membalas menyahut dan mencabar.

Jelas Ahli Parlimen Pasir Mas itu, Pemuda Pas mengambil sikap sedemikian memandangkan masih ramai dalam kalangan pimpinan Umno yang tahu menilai erti muafakat.

“Namun apabila Presiden kami membalas kiasan seorang veteran UMNO yang menyifatkan Pas cuba mengajar itik berenang, hanya sekadar membalas sahaja, bukan mengajar itik berenang tetapi mengubati itik yang kakinya sakit, marah benar Datuk Seri (Ahmad Zahid), sehingga mencadangkan Presiden kami lebih baik jadi ahli zoologi.

“Jika membalas begitu pun sudah dilabel ahli zoologi, Datuk Seri ahli apa? Ahli sihir yang sekejap uzur ke mahkamah kemudiannya sihat sejahtera memikul beras?

“Atau Datuk Seri lah sebenarnya ahli zoologi yang pengkhususannya ialah sesumpah, bertukar warna sepantas kilat sewaktu menjadi murid setia kepada ‘cikgu’ yang baru sahaja diseranah di atas pentas?,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, kelmarin.

Mengulas lanjut, Puad yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan berkata, Zahid tidak akan melakukan ‘sumpahan’ terhadap pemimpin Pas agar menjadi ‘katak’.

Beliau berpendapat Umno tidak jahat setahap itu memandangkan Pas rakan politik dalam Muafakat Nasional (MN).

“Tetapi Zahid tidak akan buat begitu. Hakikatnya dia bukan ahli sihir. Lagipun Umno tidak sejahat itu bila berkawan,” tegasnya lagi.

Tiada ulasan: