"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita Pakistan rela kepala dipaku bomoh untuk dapat anak lelaki

AFP

PESHAWAR: Seorang wanita mengandung di Pakistan merelakan kepalanya dipaku oleh bomoh sebagai jaminan beliau akan melahirkan anak lelaki.

Di Asia Selatan, anak lelaki dianggap sebagai jaminan keselamatan kewangan dan lebih menguntungkan ibu bapa berbanding anak perempuan.

Terdapat ramai bomoh yang mengambil kesempatan terhadap penduduk di Pakistan, dengan mendakwa amalan mereka berteraskan fahaman Sufi, yang popular di negara itu, walaupun dilarang dalam Islam.

Doktor yang merawatnya, Haider Khan, memberitahu AFP bahawa wanita berkenaan datang di hospital di barat laut Peshawar selepas gagal mencabut sendiri paku berkenaan menggunakan playar.

“Dia masih sedar sepenuhnya tetapi dalam keadaan amat sakit,” katanya yang berjaya mengeluarkan paku berkenaan.

“Imbasan X-ray menunjukkan paku sepanjang lima sentimeter (sm) itu menembusi bahagian atas dahi wanita berkenaan tetapi tidak kena pada otaknya.

“Tukul atau objek berat digunakan bagi menghentam masuk paku itu, tambahnya.

Tambah doktor itu, ibu kepada tiga anak perempuan itu turut memaklumkan kepadanya bahawa dirinya kini sedang mengandungkan anak perempuan keempat.

Wanita itu pada mulanya memberitahu kakitangan hospital bahawa dia sendiri memasukkan paku itu di kepalanya atas nasihat seorang bomoh tetapi kemudian mengakui bomoh berkenaan yang melakukannya.

Ketua Polis Peshawar, Abbas Ahsan, memberitahu AFP bahawa pihaknya kini sedang menjejaki wanita berkenaan untuk mencari dan menyoal siasat bomoh terbabit.

“Kami sudah mendapatkan gambar kamera litar tertutup (CCTV) dari hospital dan harap dapat menghubungi wanita berkenaan.

“Kami akan tahan bomoh terbabit dalam masa terdekat,” katanya.

Tiada ulasan: