"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cerita guru kami

Muhaimin Sulam

Sepanjang kehidupan, mungkin ada ratusan guru yang mengajar kita dalam sistem pendidikan dilalui. Dari prasekolah hingga ke universiti, jumlahnya mungkin tidak terhitung.

Namun antara mereka yang memang berbekas benar dalam hidup kita.

Tulisan ini mungkin bersifat peribadi tetapi harus dibaca dalam konteks yang lebih luas. Sejarah manusia sebenarnya tidak banyak berbeza, kecuali bagaimana ia diurus dengan apa yang ada di sekelilingnya.

Mengingatkan bahawa masa terus berlalu dan tidak pernah menunggu sesiapa, saya memilih untuk menjejak guru-guru yang pernah mengajar saya. Setelah beberapa orang guru saya pergi menemui Yang Maha Pencipta, ralat sungguh jika tidak sempat menemui mereka sewaktu sihat dan selapang begini.

Salah seorang daripada mereka ialah guru geografi kami.

Kali terakhir saya bertemu dengannya ialah pada 15 tahun lalu, iaitu sebelum saya berangkat ke bumi Inggeris. Ketika itu, dia memesan agar dibawa bersama buku saya, Diari Lokap Black 14.

Di dalam buku itu tercatat namanya di bahagian penghargaan sebagai antara individu yang memberi inspirasi dalam hidup saya.

Rumah guru kami di Kampung Pulai Bergading itu tidak jauh dari simpang tiga Malim Nawar di jalan Ipoh-Kampar. Sering juga saya melewati tempat tersebut. Namun kerana kesibukan memenuhi tuntutan hidup, banyak perkara penting terpaksa diketepikan.

Hari itu, saya menjejak guru geografi tingkatan enam yang mengajar kami di Asrama Perak di Ipoh. Tidak jauh selepas masuk ke dalam lorong sempit, saya terlihat sebuah rumah lama.

Setelah lebih 30 tahun berlalu, memandang rumah itu, ingatan saya cepat kembali. Tangga batu itulah tempat kaki kami beramai-ramai melangkah naik.

Ketika itu tingkap depan rumah tersebut ditutup untuk menempatkan pelamin pengantin bersanding. Guru kami itu menjadi raja sehari. Kami datang satu bas dari Ipoh.

Tak pernah gagal datang

Kini rumah tersebut kelihatan tidak berubah sejak pertama kali kami pergi beramai-ramai dulu.

Ia tidak lagi dihuni. Guru kami itu sebaliknya tinggal di rumahnya sendiri yang terletak kira-kira 30 meter di belakang kediaman kosong berkenaan.

Di hadapan rumah, mata saya memandang kereta yang berselimut kain. Itu kereta Datsun Sunny 120Y. Orang kampung menggelarnya dengan pelbagai nama seperti Datsun buah kana, Datsun tonggek, dan sebagainya.

Itulah pertama kali saya lihat kereta itu sejak sekian lama. Kereta itu mengingatkan saya tentang kisah tiga dekad lalu. Guru geografi berulang-alik mengajar dari Malim Nawar ke Ipoh hanya dengan motosikal Suzuki cub.

Jika hujan, baju hujan yang disarung hanya tidak melencunkan, tetapi dia tetap basah. Dia tidak pernah dia gagal untuk datang mengajar.

Suatu hari kami bertanya mengapa dia tidak naik kereta saja sedangkan guru kami itu lulusan universiti. Sudah tentu dia mampu memiliki kereta.

Kata guru kami, di rumahnya sudah ada kereta tapi disimpan saja. Kami hairan dengan jawapannya itu.

"Mengapa?" tanya kami.

"Saya dah berkali-kali gagal ujian lesen memandu," katanya jujur. Kami pun ketawa ramai-ramai.

Sehingga kami habis pengajian di sekolah tersebut, guru kami itu tidak pernah kelihatan memandu kereta tersebut.

"Jika tiada lesen, mengapa beli kereta?" Kami seperti mahu menasihati guru kami.

"Begini," katanya membuka rahsia, "sebenarnya kereta ni saya beli untuk bawa mak saya ke klinik atau hospital. Walaupun saya tak ada lesen memandu, saya boleh minta orang lain guna untuk menghantar mak saya ke klinik kalau ada kecemasan atau keperluan."

Jawapan itu menyebabkan kami terkedu. Semua kami diam seketika. Kata-kata itu memang memaku kami jauh ke dalam sanubari. Hingga kini, saya masih ingat kata-kata itu.

Saya yakin kawan-kawan saya juga ingat cerita tersebut.

Ada titisan ilmunya

Jika segmen ini sebuah filem, tentulah latar belakang muziknya adalah lagu Kasihnya Ibu yang boleh menyiat-nyiat hati dan mengalirkan hangat air mata ke pipi. Tetapi ini hanyalah sebuah karangan tanpa muzik.

Guru geografi kami itu sangat rapat dengan kami. Pengajarannya menarik. Dia guru yang mengajar dengan ikhlas dan penuh kesungguhan. Ada sakti yang tidak boleh dinafikan keajaibannya.

Ia mungkin menjadi sebab saya meneruskan pengajian dalam bidang geografi di Universiti Malaya. Dalam ilmu geografi saya menemukan makna kehidupan di bumi Tuhan ini.

Dari gurun pasir Pinnacle hingga fiord di Flam, Norway hingga lembangan Sungai Mekong, ada titisan ilmunya di situ.  

Setelah saya terlibat dalam politik, geografi itu berkembang jauh hingga merentasi pelbagai disiplin ilmu dan ruang kehidupan. Sewaktu di bangku sekolah, kami hanya didedahkan soal geografi fizikal, geologi, kartografi dan geografi kemanusiaan.

Kini geopolitik adalah salah satu bidang yang sangat menarik difahami terutama para pencatur politik dunia.

Tingkat atas kelas kami ialah asrama lelaki. Kadangkala selepas cikgu datang ke kelas, ada rakan kami yang masih tidur di asrama. Melihat jumlah kehadiran yang kurang, dia mengarahkan ketua kelas memanggil dan mengejutkan mereka yang masih tidur.

Meskipun begitu, guru kami itu tidak marah. Dia cuma bagi nasihat agar kami belajar bersungguh-sungguh. Bahkan digosok-gosoknya rambut dan kepala kami dengan tangannya.

Agaknya dia tak kuasa mahu memarahi budak-budak yang sudah besar panjang. Berada di tingkatan enam, sepatutnya kami tahulah buruk baiknya sesuatu perkara.

Dipendekkan cerita, kini guru saya sudah bersara.

Langit itu luas

Kini dia bukan sekadar memiliki kereta dan lesen memandu kereta, tetapi pernah memiliki kapal terbang persendirian. Dia juga mempunyai lesen membawa kapal terbang awam dan persendirian.

"Cikgu boleh bawa Boeing?" saya bertanya mahu kepastian.

"Ya, boleh Boeing 707," jawab guru dengan yakin.

Guru saya itu juga menjadi pengajar bertauliah untuk juruterbang awam dan persendirian yang perlu memperbaharui lesen mereka setiap enam bulan. Sekarang aktif dengan Kelab Aero Perak sebagai ahli jawatankuasanya dan meminati aktiviti kapal terbang kawalan jauh.

Sembang kami berkisar soal sekolah yang telah menjadi sejarah, dan isu teknologi kapal terbang. Guru saya itu membawa saya ke dimensi baru – penerbangan.

Kami bercerita mengenai hal-hal mengendalikan pesawat persendirian, payung terjun, pesawat kawalan jauh termasuk dron. Itu dunia yang agak asing saya.

Memang langit itu luas. Banyak yang boleh kita teroka di celah-celah keluasannya yang terhampar saujana mata memandang. Bolehlah melihat bagaimana gunung-gunang di Lembah Kinta itu ditarah, pembalakan di hutan Belum, sawah padi di kampung, Sungai Perak mengalir duka dan segala khazanah negara dari mata helang yang terbang melayang.

Itulah cerita guru kami, Kapt Dr Ahmad Damanhuri Ibrahim.

Tiada ulasan: