"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Khemah besar’ PH tidak begitu menjadi di Johor

Zeanaaima Mohd Yusof

PETALING JAYA: Konsep “khemah besar” yang diharapkan oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) untuk menyerlahkan “kesatuan” blok pembangkang gagal ditonjolkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata penganalisis politik Azmi Hassan.

Azmi yang juga Felo Kanan Penyelidikan Strategik Akademi Nusantara berkata, petanda paling jelas adalah PKR nekad mahu menggunakan logo sendiri sementara DAP dan Amanah sepakat untuk menggunakan logo PH.

“Di Johor memang terserlah sangat bahawa idea ‘khemah besar’ itu tidak mendapat sambutan. Tapi masalahnya, dalam Pakatan Harapan sendiri, di Johor terutamanya, mereka berpecah. Menggunakan logo berlainan, menggunakan strategi Amanah (dan) DAP konsep lain, PKR dikatakan tak nak terima MUDA.

“Jadi kalau dalam Pakatan Harapan sendiri berpecah, bagaimana mereka nak menarik parti-parti lain supaya berada di bawah ‘khemah besar’ itu”, katanya kepada FMT.

PRN Johor yang dijadualkan berlangsung 12 Mac depan memperlihatkan PKR tidak berpuas hati dengan DAP serta Amanah, yang bertindak menyerahkan enam kerusi boleh menang kepada parti baharu, MUDA.

Enam kerusi tersebut adalah Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap and Bukit Permai.

Malah, PKR dan MUDA bertembung sesama sendiri di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin selepas gagal mencapai kata sepakat.

Pejuang dan Warisan turut “menguji” PH dengan menggunakan PRN Johor untuk bertapak dalam politik tanah air dan enggan bekerjasama dengan PH yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim itu. 

“Apa yang berlaku di Johor ini akan jadi ‘mirror’ atau cermin semasa PRU nanti jika Pakatan Harapan adalah Pakatan Harapan seperti yang sekarang,” katanya lagi.

Seorang lagi penganalisis, Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, jangan terkejut jika idea khemah besar yang diimpikan PH berhasil dengan gabungan antara parti pembangkang dengan Perikatan Nasional (PN) atau Barisan Nasional (BN).

“Jangan terkejut tiba-tiba PN bekerjasama dengan Pejuang ataupun PH bekerjasama dengan BN…atas erti kata nak wujudkan kerajaan yang lebih stabil.

“Khemah besar ini macam-macam bentuk boleh dibuat. Orang akan melihat kestabilan. Kalau ada perebutan begini orang akan kata nak selesaikan hal ini pun tak boleh, bagaimana hal negara?,” katanya kepada FMT.

Tambahnya, PRN Johor yang menyaksikan saingan sehingga tujuh penjuru membabitkan 56 kerusi DUN adalah petanda betapa berpecahnya pembangkang di negara ini.

Tiada ulasan: