"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita positif Covid-19 dikompaun RM1,000 kerana cuba mengundi

Malaysiakini 

PRN JOHOR | Seorang pegundi wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin dikenakan kompaun RM1,000 selepas hadir ke pusat mengundi di Dewan Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru hari ini.

Bernama memetik Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor Dr Aman Rabu sebagai berkata siasatan awal pihaknya mendapati wanita itu positif Covid-19 kategori 2.

Wanita berkenaan dikenakan kompaun pada 11.45 pagi oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi kesalahan pengundi positif Covid-19 hadir di tempat mengundi.

"Pihak JKN sentiasa komited menjalankan pemantauan Prosedur Operasi Standard Pilihan Raya Negeri Johor. Kami ingin mengingatkan bahawa individu positif (Covid-19) adalah dilarang untuk keluar dari tempat isolasi," katanya.

Dr Aman berkata kegagalan mematuhi arahan itu boleh dikenakan kompaun mengikut Peraturan16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan) 2021.

Dewan Kampung Melayu adalah antara pusat mengundi bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Larkin.

Sebelum itu, Malaysikini melaporkan pemeriksaan aplikasi Mysejahtera milik wanita berusia 30an itu yang menunjukkan tanda merah.

Memetik Free Malaysia Today, wanita itu mendakwa dia tidak mengetahui individu yang disahkan positif Covid-19 dan masih menjalani kuarantin tidak dibenarkan mengundi.

Dia berkata rakan terdekatnya memberitahu dia boleh keluar mengundi walaupun dijangkiti wabak berkenaan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SOP) bagi pilihan raya negeri Johor, individu yang disahkan positif Covid-19 tidak dibenarkan meninggalkan lokasi kuarantin mereka untuk ke pusat mengundi bagi mengelakkan risiko jangkitan.

SOP itu juga menyatakan pesakit dalam siasatan (PUI) dan orang di bawah pengawasan (PUS) boleh meminta kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah untuk ke pusat mengundi bagi mengundi.

Kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian risiko jangkitan bagi setiap individu.

Tiada ulasan: