"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri maut terkena renjatan elektrik pemanas air

Bernama

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata terdapat kesan terbakar pada tangan isterinya dipercayai cuba mahu membantu suami yang terkena renjatan terlebih dahulu. (Gambar Bomba)

CAMERON HIGHLANDS: Pasangan suami isteri ditemui mati dipercayai terkena renjatan elektrik di dalam bilik air di sebuah rumah di Taman Puncak Tringkap, Brinchang, pagi tadi.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima panggilan dari orang awam kira-kira jam 9.45 pagi, dan sebaik tiba di lokasi kejadian menemui kedua-dua mangsa yang terbaring di bilik air di tingkat 2, pangsapuri lima tingkat tersebut.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami mendapati masih ada arus elektrik di sekitar bilik air dan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), telah dipanggil untuk membantu mematikan arus elektrik rumah.

“Siasatan awal menemui kesan terbakar di tapak tangan isteri, 35, dipercayai terkena arus elektrik sewaktu cuba membantu suaminya, 46, yang sedang mandi menggunakan pemanas air semasa kejadian berlaku,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata menurut saksi, iaitu anak perempuan mangsa, 10, ketika kejadian ibunya sebelum itu meminta pertolongan dari bilik air supaya mengambil kayu yang dipercayai untuk digunakan sebagai penebat arus elektrik, bagi membantu bapanya yang terkena renjatan elektrik pada masa itu.

Ramli berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa berasal dari Sarawak dan bekerja sebagai buruh, mempunyai tiga anak iaitu dua orang lelaki dan seorang perempuan lingkungan umur dua hingga 10 tahun.

“Kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom Tanah Rata untuk bedah siasat, manakala ketiga-tiga anak pasangan tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tujuan urusan kebajikan anak-anak mangsa,” katanya dan menambah tiada unsur jenayah yang berlaku dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Tiada ulasan: