"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bukti baru yang dibawa Najib hanya 'hearsay' atau khabar angin

DPP: Dakwaan bukti baru Najib khabar angin

Hidir Reduan Abdul Rashid

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram hari ini berhujah di Mahkamah Persekutuan bahawa permohonan penyerahan bukti baru Najib Razak dalam kes SRC International bernilai RM42 juta hanya berdasarkan kenyataan individu tertentu kepada SPRM.

Sithambaram berhujah bahawa Mahkamah Persekutuan harus menolak bukti itu kerana afidavit sokongan Najib berdasarkan keterangan khabar angin atau 'hearsay'.

Di bawah undang-undang, 'hearsay' ialah laporan kata-kata orang lain oleh saksi, yang mahkamah biasanya tidak membenarkan ia diambil sebagai bukti semasa perbicaraan.

Bukti tambahan yang cuba diajukan Najib disokong oleh afidavitnya mengenai apa yang dikatakan oleh tiga pegawai SPRM dan dua pegawai bank kepada suruhanjaya antirasuah itu semasa siasatan.

Sithambaram memberitahu lima bangku hakim yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat bahawa afidavit Najib menunjukkan bahawa saksi yang didakwa ini tidak memberitahu Najib sendiri mengenai apa yang mereka maklumkan kepada SPRM.

“Saksi-saksi itu (apa yang mereka didakwa katakan seperti yang terkandung dalam afidavit Najib) adalah khabar angin, mereka tidak memberitahu perayu (Najib),” kata Sithambaram.

DPP menentang hujahan awal peguam bela Hisyam Teh Poh Teik berhubung bukti baru ini - yang didakwa dihantar tanpa nama dalam sampul surat kepada Najib antara 9 Mei dan 7 Julai.

Hisyam telah berhujah awal hari ini bahawa jika tidak kerana sampul surat tanpa nama ini, Najib dan pasukan pembelaan tidak akan menyedari tentang dakwaan konflik kepentingan yang melibatkan Nazlan.

Prosiding di hadapan mahkamah akan disambung semula pagi esok, dengan peguam Najib dijangka mengemukakan hujah balas terhadap penghujahan pihak pendakwaan berhubung permohonan menyerahkan bukti baru itu.

Panel hakim lain ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abang Iskandar Abang Hashim, Hakim Mahkamah Persekutuan P Nallini, Mary Lim Thiam Suan dan Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Melalui permohonan penyerahan bukti baru yang bertujuan untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib dalam kes SRC, perayu mendakwa hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali berisiko berat sebelah kerana konflik kepentingan.

Pasukan pembelaan Najib mendakwa terdapat konflik kepentingan disebabkan Nazlan, yang merupakan hakim Mahkamah Tinggi ketika itu memegang jawatan sebagai peguam am di Maybank.

Perayu mendakwa bahawa bank komersial itu kemudiannya terlibat dalam pembentukan SRC, anak syarikat 1MDB ketika itu.

Walaupun secara rasmi telah menarik balik tuntutan rasuahnya terhadap Nazlan, bekas perdana menteri itu tetap menegaskan dakwaan konflik kepentingan terhadap Nazlan.

Sekiranya Mahkamah Persekutuan menolak permohonan menyerahkan bukti baru, ia akan meneruskan untuk mendengar rayuan utama Najib yang bertujuan untuk membatalkan sabitan atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan jenayah pecah amanah (CBT), dan tiga pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC.

Perayu juga memohon untuk membatalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Persekutuan telah menetapkan sembilan hari mulai hari ini untuk mendengar rayuan Najib.

Pada mulanya ditetapkan selama 10 hari, namun Mahkamah Persekutuan kemudian mengurangkannya, kepada sembilan hari untuk perbicaraan dari 15 hingga 19 Ogos dan 23 hingga 26 Ogos.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, melalui hakim perbicaraan Nazlan, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah membabitkan RM42 juta dana daripada SRC.

Setelah menjatuhkan hukuman itu, Nazlan bagaimanapun membenarkan permohonan pembelaan untuk penangguhan hukuman sementara menunggu proses rayuan diselesaikan. Nazlan sejak itu telah dinaikkan ke Mahkamah Rayuan.

Pada 8 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan bersalah terhadap Najib.

Tiada ulasan: