"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tak mustahil PAS kembali kepada PKR, DAP - Pemuda UMNO

Malaysiakini 

Sejurus selepas Pemuda PAS mengajak penyokong pembangkang menjatuhkan kerajaan Pahang - yang dipimpin Umno bersama BN - Asyraf Wajdi Dusuki tampil memberikan reaksi segera.

Kata Ketua Pemuda Umno itu melihat kepada tindakan Pemuda PAS tersebut, adalah tidak mustahil untuk parti berkenaan kembali menyertai gabungan disertai PKR dan DAP.

"Untuk PAS kembali kepada PKR dan DAP bukanlah sesuatu yang mustahil kerana mereka pernah bersama dalam Pakatan Rakyat atas matlamat yang serupa dengan saranan ketua Pemuda PAS hari ini (iaitu) semata-mata untuk mengalahkan Umno.

"Kalau PAS boleh meninggalkan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) untuk bersama dengan Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN), tidak mustahil juga mereka boleh berubah untuk bersama dengan 'pasangan' baru," katanya sebentar tadi.

Asyraf Wajdi berkata demikian sebagai mengulas saranan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari, yang menyeru penyokong-penyokong Pakatan Harapan (PH) membantu mereka untuk menawan Pahang daripada BN.

Kata Ahmad Fadhli, dengan bantuan undi daripada penyokong PH, PAS yakin mampu memenangi lebih banyak kerusi di Pahang kerana pada pilihan raya umum (PRU) lalu mereka hanya tewas dengan undi kecil di pelbagai kawasan dewan undangan negeri.

Malah ahli parlimen Pasir Mas itu juga secara terbuka menyerukan agar Pahang dijadikan satu lagi negeri ditadbir oleh PAS selepas Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Kata Asyraf Wajdi kenyataan Ahmad Fadhli itu juga mengundang persoalan mengenai kejujuran PAS ketika ini.

Menurutnya kelmarin Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, berkata jalan perlu dicari bagi menyelamatkan MN yang dimeterai kedua-dua parti pada 2019.

"Apabila Ketua Pemuda PAS bersungguh-sungguh mengajak DAP-PKR (dan) PH menjatuhkan kerajaan Umno di Pahang, apakah bermakna kenyataan Mursyidul Am PAS kelmarin hanyalah sandiwara semata-mata?" soalnya.

Sejarah kerjasama dengan DAP

Pun begitu Asyraf Wajdi menjelaskan - dalam nada sinis - apa yang berlaku itu adalah "seni politik" yang membawa pelbagai kemungkinan.

"Itulah seni politik. Seni yang serba berkemungkinan. Seni yang boleh berubah-ubah.

"Seni yang jika agama dikesampingkan, matlamat boleh menghalalkan cara," katanya.

Untuk rekod dalam keadaan hubungan PAS-Umno yang kian menegang, ada pihak tertentu di dalam - dan luar - parti itu sedang cuba memulihkan kerjasama yang dijalin melalui MN.

PAS pernah bekerjasama dengan PKR dan DAP melalui Pakatan Rakyat dari 2008 hingga 2016 sebelum parti itu bertindak keluar daripada gabungan tersebut.

Susulannya, Parti Amanah ditubuhkan oleh segelintir pemimpin-pemimpin PAS yang tidak puas hati dengan keputusan PAS meninggalkan Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun mengikut sejarah PAS pernah bekerjasama dengan DAP lebih awal iaitu pada 1999 apabila Barisan Alternatif ditubuhkan.

Melalui gagasan yang muncul selepas pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno, PAS menyertai Barisan Alternatif yang menghimpunkan DAP, Parti Keadilan Nasional (nama lama PKR) dan Parti Rakyat Malaysia (PRM).

Tiada ulasan: