"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Syarikat palsu pindah RM192 juta dari projek LCS gaya 1MDB - Rafizi

 Malaysiakini

Siasatan dalaman oleh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd ke atas projek kapal tempur pesisir (LCS) mendapati bahawa RM192 juta telah dipindahkan.

Ini didedahkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli hari ini, yang mendakwa telah melihat laporan siasatan itu. Laporan itu tidak dikongsi dengan media.

Menurut Rafizi, laporan itu mendapati subkontraktor LCS telah membayar EUR43.69 juta, bersamaan RM210 juta, berdasarkan invois daripada firma Perancis Alizes Marine France.

Walau bagaimanapun, bayaran tersebut dihantar kepada sebuah firma yang mencurigakan yang diperbadankan Malta yang dikenali sebagai Alizes Marine Limited.

“Sebaliknya, jumlah perolehan yang dilaporkan di dalam penyata kewangan Alizes Marine France yang dilaporkan kepada pihak berkuasa Perancis hanya EUR3.53 juta (bersamaan sekitar RM18 juta) (dikutip dalam tempoh itu).

“Ini bermakna, sejumlah RM192 juta telah dipindahkan ke akaun syarikat-syarikat pesisir luar pantai yang tidak dapat dijejaki,” kata Rafizi.

Menurutnya, skim berkenaan sama dengan 1MDB yang menyaksikan syarikat palsu dengan nama yang hampir serupa dengan syarikat tulin ditubuhkan di seluruh dunia untuk mengutip dana haram.

“Invois dihantar dari satu syarikat, sebaliknya arahan bayaran adalah supaya invois dibayar ke satu akaun yang didaftarkan di bawah syarikat yang namanya hampir sama tetapi syarikat berlainan,” katanya.

Skim itu, dakwa Rafizi, berpusat kepada firma pertahanan Perancis DCNS, yang kini dinamakan sebagai Naval Group.

Rafizi berkata laporan dalaman itu mendakwa Alizes Marine Limited disyorkan sebagai pembekal alat ganti oleh DCNS, yang adalah firma di sebalik reka bentuk LCS.

“DCNS menggunakan Alizes Marine sebagai syarikat palsu untuk mendapat manfaat dari pembekalan alat gantian berdasarkan muslihat yang dibuat di Malaysia,” petik sebahagian laporan dalaman yang dikongsi Rafizi.

Pemimpin PKR itu berkata Malaysia mempunyai sejarah buruk dengan DCNS kerana firma itu kini sedang dalam siasatan Perancis berhubung dakwaan rasuah berhubung perolehan dua kapal selam Malaysia pada 2002.

Oleh itu, kata Rafizi, adalah wajar untuk orang ramai menuntut siasatan terhadap siapa yang "melindungi" DCNS dalam peranannya dalam projek LCS.

“Hanya (perdana menteri ketika itu) Najib Razak, (bekas menteri pertahanan) Ahmad Zahid Hamidi dan (menteri pertahanan semasa) Hishammuddin Hussein yang boleh menjawab soalan ini,” kata Rafizi.

Menurut laporan penyiasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Zahid pada 26 Mei 2011 telah meluluskan permohonan TLDM supaya Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd membina enam kapal LCS berdasarkan reka bentuk "Sigma".

Bagaimanapun, dalam tempoh kurang dua bulan, Zahid mengubah fikiran dan sebaliknya mengikut cadangan BNS untuk menggunakan reka bentuk kelas Gowind yang dimiliki oleh Kumpulan Tentera Laut Perancis.

Ini berlaku walaupun dibantah berulang kali oleh tentera laut dan panglimanya.

Tiada ulasan: