"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno tak pernah mahu berubah jika Shahrizat terpilih jadi ketua

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Umno akan menghampakan ikrar perubahan yang diuar-uarkan selama ini sekiranya Shahrizat Abdul Jalil terpilih sebagai ketua pada pemilihan akan datang, malah akan dianggap tidak pernah mahu berubah.

Penganalisis politik, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata, memilih Shahrizat akan memberi isyarat kepada masyarakat bahawa Umno “tidak pernah mahu berubah”.

Tegasnya, Umno dalam keadaan ia memerlukan nafas baharu tidak perlukan ‘orang lama’ untuk kembali lantang.

“Jika lebih ramai orang lama menawarkan diri sebagai calon dan kalaulah orang lama juga menang dalam jawatan penting, maka persepsinya Umno tak mahu berubah dan ini akan memberikan persepsi negatif kepada pengundi di luar,” katanya kepada FMT. 

Sebelum ini, ketua Wanita Umno Kota Melaka, Haryaty Hamdzah, mendakwa sekumpulan akar umbi mahu Shahrizat kembali menerajui Wanita Umno, berdasarkan prestasi sayap itu ketika beliau mengetuainya dari 2009 hingga 2018.

Wanita Umno ketika ini diterajui Noraini Ahmad.

Salawati Mat Basir dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata menerima Shahrizat kembali sebagai ketua akan dilihat sebagai langkah ke belakang bagi Umno.

Katanya, reputasi Wanita Umno bawah pimpinan Shahrizat harus dikenang sebagai legasi terbaik sayap itu dan cabaran untuk melahirkan lebih ramai wanita yang berani dan lantang.

“Takkan kita nak kembali ke masa silam? Zaman dah berubah,” katanya kepada FMT, mengingatkan bahawa Shahrizat memimpin Wanita Umno selama 10 tahun.

Katanya, Umno tidak perlu kembalikan ‘orang lama’ untuk memimpin sayap yang sudah hilang taring.

“Dengan pengalaman beliau, Shahrizat hanya sesuai jadi penasihat. Jika nak kemudi semula memang tak kena. Biarlah muka baharu yang lantang, yang berani memimpin sayap itu.”

Tiada ulasan: