"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar: Malaysia lemah, hilang arah akibat rasuah, tadbir urus buruk

Bernama

BANGKOK: Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memberi jaminan Malaysia akan ditabir sebaiknya, selaras konsep Madani dan bangkit daripada kelemahan akibat tadbir urus buruk, rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai peluang untuk bangkit dan maju, kembali sebagai negara demokrasi penting dalam kecemerlangan ekonomi, walaupun dengan pelbagai kekurangan sekitar 1990-an.

“Kita (sebelum ini) jadi lemah lalu hilang arah disebabkan tadbir urus buruk, rasuah dan salah guna kuasa. Bagi Malaysia, saya percaya negara dan rakyat berhak memperoleh yang lebih baik lagi.

“Kini kita miliki peluang, biar apa saja yang dikatakan mereka mengenai saya dan rakan-rakan saya dalam Kabinet – satu perkara yang pasti ialah saya tidak akan bertolak ansur. Mereka (menteri Kabinet) menjadi teraju bagi memastikan Malaysia ditadbir dengan baik buat rakyat Malaysia.

“Inilah yang dimaksudkan dengan Madani buat rakyat Malaysia,” katanya dalam majlis minum petang bersama rakyat Malaysia yang menetap di sini, sempena lawatan rasmi dua harinya ke Thailand.

Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang menetap di Bangkok menghadiri acara hari ini. Turut hadir Menteri Luar, Zambry Kadir dan Duta Malaysia di Thailand, Jojie Samuel.

Anwar berkata, Malaysia di bawah kepimpinannya tidak akan berkompromi dengan rasuah.

“Rakyat Malaysia tidak boleh terima perkara ini (rasuah dan salah guna kuasa pentadbiran), Malaysia sebuah negara hebat, kita miliki kaum Melayu, Cina dan India yang hebat berwibawa.

“Mari kita bekerjasama, pilih yang terbaik, tolak rasuah, tolak mereka yang lemah, yang hanya boleh bertahan disebabkan rasuah mereka.”

Anwar berkata, beliau menyerahkan kuasa kepada kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof bagi memastikan mereka bekerjasama sebagai pasukan mantap.

“Sehingga kini, selepas dua bulan, kita telah bekerja dengan baik.”

Beliau berkata, Malaysia berhasrat menjalin kerjasama lebih erat dan rapat dengan Thailand dalam bidang keterjaminan makanan, teknologi maklumat dan pengangkutan.

“Saya berminat meningkatkan hubungan dua hala dengan Thailand kerana ia dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara.”

Selain itu, katanya, Malaysia dan Thailand berhasrat menyelesaikan pelbagai masalah tertangguh.

“Keutamaan kita adalah menyelesaikan pelbagai…Mesej kita jelas, kita akan melakukan apa saja yang wajar bagi memastikan hubungan cemerlang, dan menggunakan kecemerlangan ini bagi manfaat rakyat kedua-dua negara dari segi keterjaminan makanan, kehidupan, perdagangan, aktiviti bersama, usahasama dalam perniagaan dan perdagangan.

Tiada ulasan: