"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'SPRM perlu siasat bekas Adun Warisan mengaku ditawar wang, jawatan'

Malaysiakini

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memulakan siasatan berhubung isu melibatkan tiga Adun di Sabah yang keluar daripada Warisan untuk menjadi Adun bebas dan memberi sokongan kepada ketua menteri Hajiji Noor.

Naib Presiden Warisan, Junz Wong mendakwa salah seorang Adun itu sebelum ini secara terbuka mengaku ditawarkan jawatan dan jutaan ringgit untuk mereka keluar parti.

“SPRM mesti menyiasat tindakan melompat tiga YB omo kerana salah seorang Adun berkenaan merakam video pada Jun lalu, secara terbuka mengakui ditawarkan berjuta-juta ringgit dan jawatan kepada mereka untuk meninggalkan Warisan.

“Cakap-cakap mengenai perpaduan hanyalah taktik melengah-lengahkan yang digunakan oleh 'kerajaan pintu belakang' diketuai Hajiji untuk terus 'membeli' YB kita demi kepentingan politik (mereka) sendiri.

“Nampaknya cakap-cakap mengenai perpaduan ini tidak pernah ikhlas dan wang masih menjadi raja, sedihnya,” dakwa Wong dalam satu kenyataan.

Tiga Adun berkenaan ialah Adun Banggi, Mohammad Mohamarin; Adun Kunak, Norazlina Arif dan Adun Tanjong Kapor, Chong Chen Bin.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, mereka berkata langkah itu diambil selepas meneliti dan mempertimbangkan semua aspek termasuk hala tuju gabungan politik itu di Sabah dan pandangan akar umbi di kawasan yang mereka wakili.

Semakan Malaysiakini mendapati Norazlinah pernah memuat naik video di akaun TikToknya pada Jun tahun lalu dengan mendakwa dia ditawarkan jutaan ringgit dan jawatan untuk meninggalkan Warisan.

Mengakui berasa 'teruja' selepas menerima tawaran berkenaan, Norazlinah berkata dia masih setia kepada parti pimpinan Shafie Apdal itu dan menegaskan tidak akan meninggalkan parti itu demi rakyat serta mereka yang telah mengundinya.

@norazlinaharif
Kerana Rakyat, saya setia di Warisan.

♬ original sound - Norazlinah Arif
"Saya manusia biasa, saya juga teruja apabila saya ditawarkan jawatan-jawatan yang besar sekiranya saya meninggalkan warisan," katanya dalam video itu.

"Ketika saya dipilih jadi wakil rakyat, undi yang dipangkah oleh rakyat adalah logo parti Warisan, kemudian nama saya.

"Jadi untuk saya menidakkan Warisan yang berikan kemenangan kepada saya adalah mustahil.

"Justeru, saya tidak boleh mengambil keputusan untuk meninggalkan warisan ataupun lompat parti kerana rakyat," katanya.

Sementara itu, Wong mendakwa 'politik wang' di Sabah menjadi punca undang-undang antilompat parti tidak dibentangkan di DUN walaupun rang undang-undang itu diluluskan di peringkat kerajaan persekutuan dan beberapa negeri lain.

Dia juga menasihatkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat berikutan prestasi buruknya dari segi tadbir urus dan khidmat kepada rakyat.

Bagi Warisan, Wong yang juga Adun Tanjung Aru berkata parti itu akan terus memperjuangkan hak Sabah.

“Kami akan melakukan semak dan imbang kerajaan 'pintu belakang' di Sabah ini.

“Warisan akan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pentadbirannya dalam kerajaan persekutuan untuk memulihkan ekonomi kita,” katanya.

Untuk rekod, tindakan tiga Adun Warisan terbabit keluar parti menyebabkan pembangkang hanya memiliki 32 kerusi daripada 79 kerusi DUN, termasuk 16 daripada Warisan.

Politik di Sabah bergolak kira-kira sebulan lalu apabila terdapat usaha untuk menjatuhkan Hajiji, selepas BN Sabah di bawah pimpinan Bung Moktar menarik balik sokongan terhadap ketua menteri Sabah itu.

Bagaimanapun usaha untuk menjatuhkan Hajiji itu gagal.

Presiden Warisan, Shafie Apdal menafikan parti itu berkomplot dengan BN untuk menjatuhkan Hajiji, sebaliknya mempersoalkan keabsahan ketua menteri Sabah itu mengekalkan jawatannya berikutan peletakan jawatannya daripada Bersatu.

Tiada ulasan: