"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Permohonan maaf Razman bukti fitnah jadi bahan kempen PAS

Malaysiakini

Permohonan maaf oleh Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria terhadap Pengerusi Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim perlu dijadikan iktibar terutama oleh orang Melayu, kata Ahli Jawatankuasa Amanah, Faiz Fadzil.

Katanya, permohonan maaf itu juga membuktikan kempen PAS dan PN pada pilihan raya umum (PRU) lalu adalah berdasarkan fitnah semata-mata dengan menunggang isu kaum dan agama.

“Permohonan maaf ini perlu diambil iktibar oleh orang Melayu bahawa kempen PAS dan PN adalah dibuat dengan menunggang isu kaum dan agama yang mana ia fitnah semata-mata.

“Jelas, fitnah yang dibawa PAS ini menyimpang jauh daripada Islam.

“PAS kini bukan sahaja hilang kompas moral, tetapi juga nilai Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, kes saman fitnah oleh Anwar terhadap Razman selesai apabila Pesuruhjaya PAS Perak itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri di Mahkamah Tinggi Taiping.

Saman berkenaan berhubung ucapan Razman yang didakwa mengaitkan Anwar membawa agenda songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menurut Faiz permohonan maaf oleh Razman itu bukan isu peribadi, sebaliknya merupakan isu kepartian.

Ini kerana katanya, fitnah mengaitkan Anwar dengan LGBT itu dijadikan bahan kempen PAS dan PN dalam PRU lalu sehingga menyaksikan berlakunya gelombang hijau.

"Oleh itu, jelas PAS dan PN menang di kerusi-kerusi majoriti Melayu atas kempen fitnah dan pembohongan. Dari segi moral, adakah kemenangan PAS dan PN di 74 kerusi dalam PRU lalu sah?

“Ramai penganalisis politik berpendapat gelombang hijau ini bertitik tolak daripada kempen-kempen fitnah sebegini termasuk dakwaan PH menyokong agenda komunis dan Anwar Ibrahim ada hubungan dengan Israel.

“Dakwaan sebegini ternyata palsu apabila Anwar Ibrahim membawa agenda Madani dalam kerangka pentadbirannya,” katanya.

Tiada ulasan: