"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita bersekongkol dengan ibu rancang penculikan kekasih suami

Nor Azizah Mokhtar

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Gara-gara marahkan suami curang, seorang isteri sanggup merancang penculikan seorang wanita warga asing yang juga teman wanita suaminya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata kejadian penculikan berlaku di Jalan 2/3A Pusat Bandar Utara di sini, kira-kira jam 11.45 malam.

Menurutnya, semasa kejadian, teman lelaki mangsa meninggalkannya bersendirian di dalam kereta dengan pintu tidak berkunci dan enjin dalam keadaan hidup.

"Dia kemudian dimaklumkan saksi keretanya dilarikan seorang lelaki yang tidak dikenali dengan mangsa berada di dalam kereta, menuju ke jalan besar menghala ke Gombak.

"Lelaki berusia 34 tahun itu segera menghubungi telefon bimbit mangsa tetapi mendapati ia sudah dimatikan sebelum dia tampil membuat laporan polis pada jam 12.38 tengah malam, Sabtu lalu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, hasil siasatan, polis berjaya mengesan kereta pengadu ditinggalkan di tepi jalan berhampiran sebuah pasar raya di Rawang dan mangsa tiada di dalam kenderaan itu.

"Antara jam 1.50 pagi hingga 5.30 pagi Ahad lalu, kita menangkap dua wanita iaitu ibu dan isteri pengadu serta seorang lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 52 tahun dalam serbuan berasingan di Temerloh, Pahang dan Bandar Baru Sentul.

"Berpandukan maklumat diberikan ketiga-tiga suspek, kita berjaya menyelamatkan mangsa di Bandar Dataran Segar, Port Dickson, Negeri Sembilan pada jam 7.10 malam, hari sama," katanya.

Beh berkata, mangsa juga seorang wanita warga asing berusia 26 tahun mengalami kecederaan ringan di hidung, muka, kepala serta badan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan sebagai pesakit luar.

Katanya, polis turut merampas beberapa telefon bimbit milik suspek dan mangsa serta sebuah kereta yang digunakan suspek untuk melarikan mangsa.

"Motif kejadian adalah berpunca daripada masalah rumah tangga. Perancang utama kejadian ini adalah ibu dan isteri pengadu yang hendak memisahkan hubungan intim antara pengadu dan mangsa.

"Ketiga-tiga suspek kini direman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan," katanya.

Tiada ulasan: