"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ahli Parlimen PAS nafi label pengundi ‘tak kenang budi’

Predeep Nambiar

Tular video Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad dikatakan melabelkan beberapa pengundi bukan Islam tidak kenang budi kerana tidak undi PN. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN: Seorang ahli parlimen PAS menafikan dakwaan beliau menyifatkan pengundi bukan Islam sebagai “tidak kenang budi” dalam video yang dikongsi secara meluas, dengan mengatakan kenyataan itu diambil di luar konteks.

Klip 21 saat Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Mohamad menggambarkan beliau sebagai berkata, beberapa pengundi bukan Islam tidak bersyukur apabila mereka datang kepada PAS untuk mendapatkan bantuan tetapi enggan mengundi parti Perikatan Nasional.

Sebaliknya, Siti Mastura berkata, dia sebenarnya bercerita mengenai dakwaan dibuat oleh calon lain.

Dia turut memberikan video versi sama yang lebih panjang kepada FMT.

Dalam video itu, dia bercakap tentang nasihat daripada rakan parti dan Ahli Parlimen Kapar Halimah Ali bagaimana cara menarik lebih ramai pengundi bukan Islam.

Beliau berkata, rekod dan prestasi Halimah yang mengagumkan menyebabkan beliau berjaya mendapat sejumlah besar undi bukan Islam di Kapar.

“Saya tanya macam mana (Dr) Halimah boleh pikat undi bukan Islam? Selepas itu, dia kata, saya buat kerja bukan setahun dua tapi dah berbelas-belas tahun.

“Pada masa sama, dia turut menyampaikan dakwaan ada seorang calon di Pulau Pinang yang disebut dalam “post mortem” (mesyuarat pasca PRU15), mengatakan ada beberapa pengundi bukan Islam tak kenang budi.

“Bab khidmat dia orang nak kita, tapi bab undi depa tak mau kita,” katanya menerusi video dimuatnaik di TikTok Pemuda PAS.

Siti Mastura juga berkata, beberapa calon “top” Gerakan yang tewas pada PRU15 terus berusaha membantu selepas didekati pengundi.

Tiada ulasan: