"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua bidan ditahan kerana jual 66 bayi

Agensi

Jakarta: Polis Jogjakarta, baru-baru ini, menahan dua bidan dikenal pasti sebagai DM dan JE atas tuduhan memperdagangkan bayi secara haram, lapor portal Kompas.

DM, 77, ialah bidan dan pemilik rumah bersalin. JE, 44, diambil bekerja oleh DM di rumah itu.

Kedua-dua suspek sebelum ini dipenjarakan selama 10 bulan kerana sabitan atas pertuduhan sama.

Polis berkata, mereka merampas rekod yang menunjukkan bahawa kedua-dua wanita itu menjual bayi sejak 2010.

Sepanjang 14 tahun itu, kedua-duanya didakwa menjual 66 bayi.

"Modus operandinya adalah mencari individu yang berminat untuk mengambil anak angkat.

"Suspek akan menerima atau mengambil bayi itu daripada wanita atau ibu yang menyerahkan anak kepada mereka.

"Kanak-kanak itu kemudian akan dijaga, dan selepas itu, pengumuman akan dibuat melalui media menyatakan mereka sedang mencari ibu bapa yang ingin mengambil bayi itu sebagai anak angkat," ketua detektif jenayah am Polis Jogjakarta, FX Endriadi.

Siasatan bermula selepas polis menerima laporan pemerdagangan bayi di sebuah rumah bersalin di daerah Tegalrejo, Jogjakarta.

DM dan JE dilaporkan didapati menjual seorang bayi perempuan pada 2 Disember lalu pada harga AS$3,434 (kira-kira RM15,000), dengan wang pendahuluan kira-kira RM834.

Apabila polis menahan DM dan JE pada 4 Disember, mereka mendapati seorang bayi perempuan berusia satu bulan dalam jagaan mereka dan dia dalam keadaan sihat.

Menurut Endriadi, daripada 66 bayi yang dijual, 28 adalah lelaki, 36 perempuan dan dua tidak direkodkan jantina.

DM dan JE didakwa menjual bayi itu pada harga yang berbeza-beza, dengan harga bayi lelaki lebih tinggi.

Rekod polis menunjukkan bayi perempuan dijual dengan harga 55 juta Rupiah ((kira-kira RM15,000) manakala bayi lelaki dijual antara 60 juta Rupiah (kira-kira RM70,000) hingga 65 juta Rupiah ( (kira-kira RM18,000).

Polis berkata, mengikut dokumen penyerahan di rumah bersalin, bayi itu dijual kepada pelanggan di seluruh Indonesia.
-hmetro 

Tiada ulasan: