"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Disyaki dalang sindiket dagang manusia, 4 warga Bangladesh ditahan

Bernama

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen menahan tiga lelaki dan seorang wanita warga Bangladesh dipercayai dalang utama sindiket pemerdagangan manusia berpusat di ibu negara menerusi serbuan ke atas tiga lokasi di Cheras.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata tiga suspek lelaki berusia 35 hingga 38 tahun dan wanita 32 tahun yang dipercayai pasangan kepada seorang daripada suspek itu ditahan di sebuah premis dalam operasi khas bermula 9.11 malam Rabu lalu.

Menurutnya, operasi hasil risikan selama dua minggu itu berjaya menyelamatkan 11 lelaki Bangladesh berusia 30 hingga 38 tahun yang dipercayai akan diperdagangkan sindiket berkenaan.

“Modus operandi sindiket ialah membawa masuk rakan senegara ingin mencari pekerjaan di negara ini sebagai pelancong melalui pintu masuk udara dan segala urusan pasport, visa serta tiket penerbangan diuruskan sindiket.

“Seterusnya, mangsa ditempatkan di rumah transit. Kadar bayaran dikenakan sindiket RM15,000 setiap seorang dan tambahan RM5,000 seorang untuk membolehkan mangsa keluar dari rumah transit dan sindiket ini beroperasi selama tiga bulan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, 17 pasport Bangladesh, 20 telefon bimbit, wang tunai RM800 dan USD800, masing-masing sebuah Proton Gen 2 serta Proton X70 turut dirampas.

Tiga suspek disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63.

Tiada ulasan: