"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Kelam’ selubungi PN jika gagal lihat isyarat Dr Sam

Nora Mahpar

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Bersatu bimbang keadaan kelam bakal menimpa Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatan mengejut Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai bendahari agung, yang juga mungkin isyarat terbesar terhadap pimpinan Muhyiddin Yassin.

Pemimpin enggan dinamakan itu berkata walaupun belum jelas alasan tindakan naib presiden PAS itu, namun pimpinan PN perlu segera memperbetulkan keadaan bagi mengelakkan perpecahan sekali gus menjejaskan peluang menang pada PRU16.

Rabu lalu, Samsuri yang juga menteri besar Terengganu mengesahkan peletakan jawatan bendahari agung PN – keputusan dibuatnya dua hari selepas pengumuman pelantikan beberapa pemimpin Bersatu dalam komponen terbabit antaranya Azmin sebagai setiausaha agung.

Azmin juga setiausaha agung Bersatu.

Turut diumumkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin sebagai timbalan pengerusi PN, Naib Presiden Ahmad Faizal Azumu (ketua penerangan), Ketua Wanita Mas Ermieyati Samsudin (ketua Wanita) dan dua lagi naib Ronald Kiandee serta Radzi Jidin dilantik anggota majlis tertinggi.

“Kebetulan atau tidak, tindakan Samsuri berlaku selepas pengumuman pelantikan dalam PN dan ini perlu dilihat Muhyiddin selaku pengerusi jika wujud perasaan tidak puas hati PAS berhubung keadaan itu.

“Tak boleh ambil ringan kerana sudah ada petunjuk besar dari PAS, ia ibarat protes halus terhadap keputusan didakwa hanya dibuat sebelah pihak,” katanya kepada FMT yang bimbang perkembangan itu juga berkait isyarat terhadap pimpinan Muhyiddin.

Selain Presiden PAS Hadi Awang sebagai timbalan pengerusi, pimpinan parti itu yang menduduki jawatankuasa PN terdiri Takiyuddin Hassan (timbalan setiausaha agung) dan Sanusi Nor (ketua pengarah pilihan raya).

Mohd Afnan Hamimi Taib Azamudden (ketua Pemuda) dan Tuan Ibrahim Tuan Man serta Idris Ahmad (anggota majlis tertinggi).

Sementara itu, sumber yang mengetahui perjalanan mesyuarat tertinggi PN, Isnin lalu, mendakwa senarai nama pelantikan jawatan utama dalam gabungan berkenaan telah disusun lebih awal tanpa ada perbincangan.

“Ramai datang mesyuarat terkejut apabila di atas meja sudah ada nama bagi jawatan tertentu, tiada perbincangan dan hanya diminta sahkan sahaja.

“Tok guru Hadi pun nampak banyak berdiam diri seolah-olah beri sesuatu isyarat,” katanya tidak menolak kemungkinan tindakan Samsuri yang juga bekas setiausaha politik Ahli Parlimen Marang itu mungkin berkait dengannya.

“Jika ini terus berlaku, masa depan PN kelam di bawah Muhyiddin.”

FMT telah menghubungi pimpinan PN termasuk Azmin untuk mendapat maklum balas.

Tiada ulasan: