"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga bekas menteri PH 1.0 dedah penipuan Mahathir isu Batu Puteh

SITI NUR ZAWANI

Tiga orang bekas menteri sewaktu Pakatan Harapan 1.0 menepis kenyataan dibuat Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Jemaah Menteri waktu itu bersetuju dengan keputusan untuk tidak meneruskan semakan Pulau Batu Puteh.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menegaskan dakwaan dibuat Mahathir adalah tidak benar.

Kata ketiga-tiga pemimpin tertinggi PH itu, keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran telah pun dibuat pada 21 Mei 2018 oleh Tun Dr Mahathir sendiri secara bertulis kepada Peguam Cara Negara tanpa merujuk kepada Jemaah Menteri.

Keputusan itu juga dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

“Selang dua hari kemudian, setelah keputusan dibuat, barulah Tun Dr Mahathir memaklumkan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet.

“Ingin kami tekankan di sini, ianya hanyalah “pemakluman” di bawah agenda “Hal-hal lain” dan bukannya perbincangan untuk menentukan keputusan,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Terdahulu Mahathir berkata beliau tidak membuat keputusan sendiri dalam isu RCI Batu Puteh, sebaliknya ia dilakukan atas persetujuan Kabinet ketika itu.

“Ia bukan saya seorang, ia adalah (persetujuan) Kabinet,” kata Mahathir.

Susulan itu dalam kenyataan bersama antara bekas menteri PH hari ini, mereka menegaskan tidak wujud isu sama ada sesiapa membantah atau menyokong kerana ruang untuk membuat keputusan telah pun hilang apabila ia telah dibuat secara bertulis oleh Tun Dr Mahathir.

“Sebagai negarawan, kami berpandangan Tun Dr Mahathir sepatutnya mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas keputusan ini dan bukannya memilih untuk meletakkan di bahu mereka yang tidak terlibat.


“Kami yakin dan percaya anggota Jemaah Menteri yang hadir dalam Mesyuarat Kabinet pada 23 Mei 2018 boleh mengesahkan perkara ini,” ujar mereka lagi.

Tiada ulasan: