"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua PBB 'sangat bimbang' dengan serangan udara Israel yang berulang di Syria

Bernama

HAMILTON (Kanada): Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres pada Khamis mengecam sekeras-kerasnya "pelanggaran besar-besaran terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah Syria baru-baru ini," sambil menggesa Israel menghentikan serangan ke atas negara itu, menurut laporan Agensi Anadolu.

“Setiausaha Agung amat prihatin terhadap ratusan serangan udara Israel di beberapa lokasi di Syria dan menegaskan keperluan mendesak untuk meredakan keganasan di semua kawasan di negara itu,” kata jurucakap Stephane Dujarric dalam satu sidang media.

Beliau berkata Guterres menegaskan bahawa perjanjian pemisahan 1974 antara Israel dan Syria masih berkuat kuasa serta mengutuk semua tindakan yang tidak selaras dengan perjanjian itu.

Perjanjian berkenaan menetapkan sempadan zon penampan dan kawasan bebas tentera dipantau oleh Pasukan Pemerhati Pemisahan PBB (UNDOF) yang bertugas mengekalkan gencatan senjata antara Israel dan Syria selepas Perang Timur Tengah pada 1973.

Dujarric menyeru semua pihak yang terlibat dalam perjanjian itu untuk mematuhi kewajipan mereka, termasuk menghentikan semua kehadiran yang tidak dibenarkan di kawasan pemisahan, serta menahan diri daripada sebarang tindakan yang boleh menjejaskan gencatan senjata dan kestabilan di Bukit Golan.

“Setiausaha Agung menekankan pentingnya mengekalkan ketenteraman awam sambil menyokong pengaturan peralihan yang boleh dipercayai, teratur dan terangkum di Syria,” kata Dujarric.

Apabila ditanya sama ada dakwaan Israel untuk mencegah senjata jatuh ke “tangan yang salah” boleh menjadi justifikasi bagi serangan berulang terhadap Syria, Dujarric menjawab: “Banyak negara memberikan alasan untuk melanggar kedaulatan negara lain. Apa yang jelas, kami bimbang terhadap pelanggaran berulang terhadap kedaulatan dan integriti wilayah Syria.”

Beliau menekankan bahawa Syria memerlukan sokongan daripada negara jirannya untuk bergerak ke arah sistem tadbir urus yang terangkum, demokratik dan melindungi hak golongan minoriti. Selain itu, pihak yang mengawal Syria juga harus memastikan semua senjata berada di bawah kawalan bagi mengelak penjarahan atau kehilangan.

Guterres turut menyeru Israel menghentikan serangan terhadap Syria dan memberi peringatan kepada negara lain yang mungkin mengambil kesempatan dalam situasi ini. “Tetapi tiada negara lain. Kami bercakap mengenai pelanggaran yang dilakukan, khususnya oleh Israel,” kata Dujarric.

Tentera Israel dilaporkan telah menawan zon penampan di Bukit Golan yang diduduki Syria pada Ahad, tidak lama selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengumumkan perjanjian pemisahan yang dipantau PBB dengan Damsyik telah terjejas.

Tentera Israel melancarkan ratusan serangan udara terhadap pangkalan tentera, stesen pertahanan udara, ibu pejabat perisikan, serta depot peluru berpandu jarak jauh dan dekat, dan stok senjata tidak konvensional di seluruh Syria.

Sementara itu, pasukan anti-rejim telah merampas Damsyik pada Ahad selepas serangan pantas yang memaksa Bashar al-Assad melarikan diri ke Rusia, menamatkan perang saudara selama 13 tahun dan pemerintahan 53 tahun oleh keluarganya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: