"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dua lelaki tular didakwa merompak lapan wanita

MOHD YUNUS YAKKUB
Saimen (depan), Alex (tengah) dan Rishitharan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Klang hari ini.
KLANG – Dua lelaki yang sebelum ini tular menoreh lengan wanita ketika menyamun didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas lapan pertuduhan melakukan rompakan bersiri terhadap lapan wanita selama dua bulan bermula Oktober lalu selain menyebabkan kecederaan pada mangsa berkenaan.

Kedua-dua mereka, G. Saimen , 26, dan T. Rishitharan, 21, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Noridah Adam.

Turut membuat pengakuan tidak bersalah adalah abang kepada Saimen iaitu Alex, 28, kerana menyimpan barangan curi.

Berdasarkan empat pertuduhan, Saimen dan Rishitharan didakwa merompak empat wanita seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua mereka juga didakwa empat lagi pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap empat lagi wanita lain mengikut Seksyen 394 Kanun sama.

Kesemua perbuatan itu dilakukan terhadap lapan wanita berusia 23 hingga 69 tahun di sekitar Taman Sentosa, Bandar Bukit Tinggi, Pandamaran dan Bandar Klang antara 26 Oktober hingga 17 November lalu.

Sabit kesalahan bagi kedua-dua seksyen untuk setiap pertuduhan boleh penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.

Alex pula didakwa menyimpan sebuah telefon pintar hasil rompakan jenama Samsung Galaxy milik seorang wanita berusia 58 tahun di Taman Sentosa Perdana kira-kira pukul 4 petang pada 21 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 412 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya, Peh Fong Xi tidak mencadangkan sebarang jaminan susulan kesalahan dilakukan adalah serius dan tidak boleh dijamin.

“Ini kerana kes yang disabitkan terhadap tertuduh (Saimen dan Rishitharan) adalah banyak dengan modus operandi yang sama selain terdapat kebarangkalian tertuduh melarikan diri,” katanya.

Bagaimanapun, Peguam Atifah Muhammad memohon ketiga-tiga anak guamnya itu dibebaskan dengan jaminan dan bersedia mematuhi syarat tambahan yang akan diperintahkan mahkamah.

Hakim bagaimanapun hanya membenarkan Alex sahaja untuk diikat jamin bersama seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan 23 Januari depan.

Kosmo! sebelum ini melaporkan perbuatan jahat dua lelaki merompak dua beranak dan menoreh lengan salah seorang daripada mereka memakan diri selepas diberkas masing-masing pada 17 dan 24 November lalu di sekitar Taman Sentosa Perdana, Klang. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: