Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Taib diberi minuman dan makanan selepas ditemukan selamat dalam parit. FOTO ihsan keluarga
Batu Pahat: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu menempuhi detik yang menyeksakan apabila berendam dalam parit selama dua malam sebelum ditemukan orang ramai di Kampung Parit Kassim, Jalan Parit Jalil di sini, tengah hari tadi.
Ketika ditemukan penduduk, Taib Ahmad, 79, dalam keadaan tidak berbaju serta kedua-dua tapak kaki kecut disebabkan kesejukan ditambah pula hujan selama dua hari berturut-turut sejak hari kehilangannya.
Penemuan lelaki warga emas itu yang juga pesara tentera dimaklumkan anak perempuan sulungnya, Nazhaida Taib, 55, selepas menerima panggilan penduduk pada jam 1 tengah hari.
Katanya, penduduk yang kebetulan melalui jalan itu, ternampak lelaki dalam keadaan tidak berbaju dalam parit.
"Mereka berhenti dan membantu abah naik. Kawasan itu adalah kebun sawit dan tiada penduduk yang lalu di situ menyebabkan abah tidak mendapat bantuan.
"Saya diberitahu abah berusaha naik ke tapi dia tak berdaya," katanya ketika dihubungi.
Menurut Nazhaida, ayahnya memberitahu sudah dua malam dia di dalam parit itu selepas tersesat ketika pulang ke rumah di Kampung Solok Wan Moh di sini.
Katanya, dalam tempoh itu, ayahnya masih kuat bertahan malah tidak pengsan walaupun tanpa makanan dan minuman.
"Dia tak boleh panjat keluar dari parit, jadi dia berdiri supaya ada orang nampak. Kalau abah pengsan waktu itu, kami tak tahu apa nasibnya.
"Penduduk hubungi ambulans untuk meminta bantuan hantar abah ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
"Abah tak makan tapi Allah lindunginya. Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umur abah," katanya.
Nazhaidae berkata, mereka sekeluarga terharu terhadap penduduk kampung yang turut membantu abah memberi makanan dan minuman sementara mereka tiba di lokasi.
Katanya, malah penduduk memandikan ayahnya sebaik berjaya dibawa keluar dari parit.
"Saya rasa tiada orang melalui jalan itu sepanjang tempoh berada dalam parit kerana mereka (penduduk) bercuti raya," katanya.
Taib yang turut menghidap kencing manis dan pelupa dilaporkan hilang pada tengah hari Khamis lalu selepas pulang menghantar barang dapur.
Menurut Nazhaida, kehilangan ayahnya disedari selepas salah seorang adiknya mahu mempersiapkan dirinya kerana ada saudara mahu datang beraya di rumah.
"Bila masuk bilik, kami lihat abah tiada. Kami jenguk keluar, motosikal dan topi keledar pun tiada, rupanya selepas hantar barang dikirim emak (Salma Osman, 75) abah keluar semula tanpa pengetahuan kami.
"Waktu itu kami kami lima beradik terus cari di merata-rata tempat termasuk Tongkang Pechah, Jalan Parit Jalil sehingga Jalan Sri Bengkal.
"Kami membuat hebahan di media sosial serta meminta bantuan penduduk kampung dan kenalan agar abah ditemui segera," katanya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan