Mohd Iskandar Ibrahim

KEBAKARAN membabitkan saluran gas sepdi Jalan Putra Harmoni, Putra Heights. FOTO Asyraf Hamzah
Subang Jaya: Seakan bunyi ratusan pesawat tempur di udara selain kediaman dihujani pasir.
Demikian situasi diceritakan penduduk susulan kebakaran saluran paip gas yang di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights di sini, hari ini.
Pesara perunding kewangan, Cherine Foo, 65, berkata, ketika kejadian, dia sedang menyediakan sarapan pagi sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat seakan ratusan pesawat tempur melintas rendah di udara.
Katanya, bunyi itu kemudian disusuli dengan gegaran sederhana yang menyebabkan dia terkejut dan tergamam.
"Saya tinggal seorang diri di rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi yang amat bising dan rumah saya bergegar.
"Saya terus melihat di tingkap dan ternampak api sedang marak. Saya terus keluar dan pada waktu itu perkarangan rumah dihujani debu serta pasir," katanya.
Cherine antara penduduk Taman Putra Avenue yang diarahkan pihak berkuasa meninggalkan kediaman masing-masing akibat kejadian kebakaran saluran paip gas LPG yang terletak di Jalan Putra Harmoni, Putra Height di sini.
Kediaman penduduk berkenaan terletak kira-kira 500 meter dari lokasi kebakaran.
Sementara itu, S Sivam, 34, pula berkata dia bersama ayah dan datuknya sedang tidur di rumah ketika kejadian berlaku.
Menceritakan detik cemas itu, pekerja peranti perubatan terbabit berkata, dia sekeluarga dikejutkan dengan bunyi kuat sebelum mereka diarahkan pihak berkuasa supaya segera meninggalkan rumah.
"Saya terdengar bunyi kuat, ingatkan hujan lebat tapi pelik sebab terasa bahang panas, saya ke luar rumah dan melihat api besar marak menjulang tinggi tidak jauh dari taman perumahan.
"Kemudian ada bunyi beberapa letupan kecil, selepas itu saya terus bawa ayah dan datuk keluar kerana bimbangkan keselamatan mereka," katanya.
Sementara itu, penganalisis perniagaan, Chan Hok Mee, 48, yang lebih 10 tahun tinggal di kawasan berkenaan menyifatkan kejadian terbabit amat menakutkan.
"Saya mendengar bunyi bising seperti hujan lebat kemudian saya melihat orang ramai berlari meninggalkan kediaman masing-masing.
"Saya amat berharap pihak berkuasa dapat mengenal pasti dan menyiasat punca sebenar kebakaran sebab keadaan itu mencetuskan soal keselamatan penduduk sekitar," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan