"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pensyarah wanita hilang, keluarga muram sambut Aidilfitri

Mohamed Farid Noh
Haslina Abdullah - Foto ihsan keluarga
Haslina Abdullah - Foto ihsan keluarga
KUALA LUMPUR: Ketibaan Aidilfitri disambut muram oleh Mohamad Zuljawalil Ikram Jafri sekeluarga apabila ibunya yang juga seorang pensyarah sebuah universiti swasta, di sini, dilaporkan hilang sejak 28 Mac lalu.

Mohamad Zuljawalil Ikram, 30, berkata mereka buntu kerana ibunya, Haslina Abdullah, 52, gagal dikesan selepas dihantar oleh bapa, Jafri Ab Rahman, 53, ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi hari kejadian.

Beliau yang juga anak sulung berkata, ibu sepatutnya dijemput pulang oleh bapa bersama adik bongsu, Ainol Atikah, di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Sentul Timur kira-kira jam 4 petang hari sama, namun wanita itu tidak muncul seperti kebiasaan menyebabkan mereka panik.

Beliau berkata, mereka kemudian cuba menghubungi telefon bimbit ibunya tetapi tidak berjaya, manakala cubaan menghantar mesej WhatsApp turut gagal.

"Sepatutnya selepas menjemput ibu di Stesen LRT Sentul Timur, mereka bertiga pulang ke kampung di Temerloh, Pahang, untuk menyambut Hari Raya. Malah, semua beg dan juga keperluan sudah siap sedia di dalam kereta.

"Bagaimanapun, ibu tidak muncul seperti biasa di stesen itu. Ayah dan adik cuba menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal.

"Selepas tiga jam menunggu ibu tidak muncul dan gagal menghubunginya, adik bongsu memaklumkan kepada saya dan adik kedua saya, Asyikin.

"Susulan itu, Asyikin bergegas ke tempat kerja ibu untuk mencarinya tetapi gagal menemui ibu walaupun telah memeriksa setiap tingkat universiti itu selepas diberi kebenaran oleh pihak pengurusan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Zuljawalil Ikram berkata, bapanya membuat laporan di Balai Polis Sentul selepas semua usaha mengesan ibu, termasuk kawasan antara universiti dan laluan LRT yang biasa digunakan wanita itu, tidak berhasil.

Beliau berkata, mereka sekeluarga amat risaukan ibunya berikutan wanita itu menghidap penyakit tiroid dalam darah yang menyebabkannya kadang-kadang berada dalam keadaan keletihan dan kemurungan.

"Kami sekeluarga sangat buntu dan tertekan, apatah lagi ayah menangis setiap hari sejak kehilangan ibu tiga hari sebelum Aidilfitri.

"Padahal pada malam sebelum kehilangannya, ibu sangat seronok dan ceria apabila ayah membawanya bersama adik bongsu keluarga membeli baju raya.

"Malah, ibu tidak sabar untuk pulang menyambut Hari Raya di Temerloh apabila dijadualkan bercuti mulai Jumaat lalu," katanya.

Mohamad Zuljawalil Ikram berkata, beliau sekeluarga tidak beraya susulan kehilangan ibunya sangat meresahkan mereka.

"Pada raya kedua, kami sekeluarga memeriksa hospital, termasuk hospital swasta tempat ibu mendapatkan rawatan tetapi gagal mengesannya.

"Kami turut memeriksa semua hospital di kawasan Lembah Klang meliputi Sungai Buloh, namun masih buntu.

"Kami merayu bantuan orang ramai mengesan ibu dengan gambar terbaru diambil sehari sebelum kehilangannya ketika membeli baju raya, Khamis minggu lalu. Pada hari kehilangannya, ibu memakai tudung hitam dan berpakaian gelap.

"Jika terlihat ibu kami, mohon hubungi saya melalui talian 013-4257842 atau adik bongsu (013-9134992)," katanya.

Tiada ulasan: