Malaysiakini
Keluarga anak angkat Menteri Sumber Manusia Steven Sim memulangkan semula wang RM100 kepada ahli parlimen PAS Muhammad Fawwaz Mohamad Jan susulan penyebaran sebuah video di media sosial.
Ini didedahkan oleh pegawai khas Sim, Rosly Yusof dalam satu catatan Facebook. Dia juga berkongsi tangkapan skrin perbualan WhatsApp dengan bapa remaja itu.
“Demi maruah keluarganya yang dicerca gara-gara RM100.00, Pakcik Rusli (ayah remaja itu) telah memulangkan kembali duit sumbangan YB Permatang Pauh (Fawwaz Jan).
“Satu repot polis juga akan dilakukan dan seterusnya proses tindakan undang-undang akan menyusul selepas itu,” kata Rosly.
Dalam mesej WhatsApp itu, bapanya menyatakan bahawa dia telah memulangkan wang itu kepada pembantu Fawwaz Jan, yang berjanji untuk menyiasat berhubung video itu.
Video berkenaan memaparkan seorang lelaki dipercayai penyokong PAS mendakwa gadis itu menerima bantuan kewangan daripada Fawwaz Jan dan Sim langsung tidak memberikan sebarang bantuan.
Mengulas dakwaan itu, Sim yang juga ahli parlimen Bukit Mertajam mengecam serangan pembangkang yang menjadikan anak angkatnya sebagai sasaran dan maki hamun mereka.
Sambil menekankan bahawa perbezaan politik tidak boleh melintasi garis kesopanan, katanya, berpolitik biar berpada-pada.
“Pembangkang nak maki hamun kat saya takpa, saya maafkan.
“Tapi jangan angkuh lagi biadab nak maki fitnah anak angkat saya dan keluarganya! Mereka orang susah, dah ditimpa musibah, berpolitik biar berpada-pada,” kata ahli Parlimen Bukit Mertajam itu dalam satu hantaran di laman X.
Rosly seterusnya menjelaskan remaja itu menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM200 melalui program “Anak Angkat YB” dan berada di bawah jagaan berterusan Sim sepanjang pengajiannya di Melaka.
Pemimpin DAP itu mengambil remaja berkenaan sebagai anak angkatnya tahun lalu, dan berjanji untuk membayar yuran pengajiannya sehingga tamat, walaupun keluarganya menetap di kawasan parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan