FMT Reporters
PETALING JAYA: Dua penjawat awam terselamat daripada tembakan di persimpangan lampu isyarat berhampiran Medan Selera Kuala Perlis, dekat Kangar.
Ketua Polis Perlis Muhammad Abdul Halim, berkata kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang semalam, ketika lelaki berusia awal 40-an berasal dari Perlis dan bertugas di Johor itu sedang memandu kereta jenis Perodua Alza putih untuk menghantar anak saudaranya berumur awal 30-an ke Jeti Kuala Perlis untuk pulang ke Langkawi.
“Ketika berhenti di lampu isyarat, lelaki berumur 40-an yang sedang memandu ini terdengar bunyi letupan kuat dan mendapati terdapat kesan tembakan pada pintu kanan bahagian pemandu.
“Cermin tingkap kanan sebelah pemandu kereta juga mengalami keretakan akibat kejadian itu,” katanya menurut Bernama pada sidang media di IPK Perlis.
Muhammad berkata, bagaimanapun kedua-dua lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan pasukan forensik menemukan sebutir anak peluru di bahagian alas kaki tempat duduk pemandu selain kesan tembakan pada pintu kanan kenderaan itu.
Muhammad berkata, siasatan awal mendapati tembakan dipercayai dilepaskan dari jarak antara tiga hingga empat meter menggunakan pistol jenis Revolver 38 Smith & Wesson dengan peluru berukuran 38mm daripada sebuah kereta jenis Proton Wira.
“Setakat ini, motif kejadian masih dalam siasatan dan usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh serta Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206),” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan