Mary Victoria Dass
am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bayi perempuan berusia 12 bulan maut selepas dirempuh kenderaan dipandu bapa di kediaman keluarga di sini, semalam.
Kejadian jam 2.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa berusia 27 tahun ingin mengalihkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 dari garaj ke luar rumah.
Ketua Polis Daerah Pasir Gudang, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, ketika mengalihkan kenderaan, bapa mangsa terdengar bunyi dari arah belakang tayar sebelah kiri.
Katanya, apabila turun dari kenderaan, pemandu terbabit mendapati anak perempuannya berusia setahun berada di belakang kereta.
"Mangsa dalam keadaan berlumuran berdarah dan tidak sedarkan diri.
"Pemandu terbabit kemudian terus membawa anaknya ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk rawatan," katanya.
Beliau berkata, akibat rempuhan, mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
"Siasatan dijalankan di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Polis menasihatkan pemandu lebih prihatin dan peka terhadap kedudukan anak-anak terutamanya yang masih kecil sebelum memulakan pemanduan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan