"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kanak-kanak jatuh longkang: 'Rakam sebagai bukti, bukan untuk tular'

Sinar Harian

Kanak-kanak yang dipercayai terjatuh dan hampir lemas di longkang besar berkenaan.

JOHOR BAHRU: "Adik saya tak pandai berenang, dia cuma rakam sebagai bukti, bukan untuk viral (tular)."

Demikian kata Norhanum Sabtu, 43, kakak kepada Nadhir Sabtu, 20, lelaki yang merakam detik cemas seorang kanak-kanak lelaki yang hampir maut dibawa arus deras ketika hujan lebat di Kota Masai pada petang Jumaat.

Menurut Norhanum, ketika kejadian adiknya dalam perjalanan untuk menunaikan solat Jumaat sebelum terdengar suara meminta tolong.

Katanya, selepas mengambil sejadah dan menutup pintu kereta, adiknya terdengar lagi jeritan memanggilnya: ‘abang! angah jatuh dalam longkang!”

"Kejadian itu berlaku ketika hujan kira-kira jam 1 tengah hari. Air longkang juga sangat deras dan adik saya kata dia ada tegur kanak-kanak berkenaan supaya tidak bermain di situ.

"Ketika kanak-kanak itu terjatuh, adik saya tidak pandai berenang dan terus merakam situasi itu sambil meminta pertolongan.

"Adik saya ada hantar video itu dalam group keluarga dan dia dia juga cakap bukan nak viral, cuma nak ada bukti kalau betul budak itu lemas. Jadi, yang viralkan itu orang lain, bukan dia,” katanya kepada Sinar Harian.

Pada Jumaat, tular video berdurasi satu minit 35 saat yang memaparkan insiden berkenaan dengan seorang kanak-kanak (mangsa), dihanyutkan air deras dalam sebuah longkang.

Pada Jumaat, tular video berdurasi satu minit 36 saat di media sosial menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki hanyut dalam arus deras tanpa bantuan dari sesiapa di lokasi kejadian.

Dalam video tersebut, kelihatan seorang lagi kanak-kanak lelaki, menangis dan meraung ketakutan, meminta pertolongan bagi menyelamatkan mangsa.

Video itu turut mengundang pelbagai komen daripada warganet yang mempersoalkan tindakan merakam video berbanding dengan membantu kanak-kanak berkenaan.

Bagaimanapun difahamkan, mangsa berjaya keluar dari sungai berkenaan apabila dua penunggang motosikal berhenti dan membantu menarik mangsa yang sebelum itu sempat berpaut pada objek dalam longkang.

Mangsa kemudiannya naik ke atas dan berjalan kaki bersama seorang kanak-kanak lelaki lain pulang ke kediaman mereka yang dipercayai berada di sekitar kawasanan berkenaan. - Sinar Harian

Tiada ulasan: