"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tekap sudu besi panas di lengan budak, pembantu pusat jagaan mengaku salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang pembantu pusat jagaan menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat tuduhan melakukan penderaan fizikal dengan menekap sudu besi panas di lengan empat kanak-kanak perempuan, Ogos tahun lalu.

Tertuduh Puteri Nurin Amalina Ahmad Daud, 21, membuat pengakuan bersalah itu ketika prosiding mendengar keputusan representasi di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi dan Surita Budin, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Puteri Nurin sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap empat kanak-kanak perempuan berusia lima dan enam tahun telah menganiayai mereka dengan cara menekap sudu besi panas di lengan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal seperti melecur.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pusat jagaan di Taman Merbok Ria di Rasah, Seremban pada Ogos tahun lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama dan jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pada 12 Sept tahun lalu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut dan mohon dibacarakan. Puteri Nurin kemudiannya mengemukakan representasi untuk menggugurkan tuduhan itu.

Terdahulu, pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa yang representasi dikemukakan tertuduh ditolak, tetapi terdapat perkembangan terkini dan memohon pertuduhan dibacakan semula.

Selepas mendengar pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac ini untuk penyediaan laporan sosial dan fakta hukuman.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Noorashikin Nasarudin dan Nurul Balkis Zunaidi manakala tertuduh diwakili peguam, Boestamam Ahmad.

Sebelum ini, media melaporkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Dalam serbuan dilakukan, seramai 171 individu turut ditahan.

Tiada ulasan: