TNG eWallet kini boleh digunakan pelarian, pencari suaka di Malaysia
Nur Amira Mohd Hedzer
bhbiz@nstp.com.my

Ni (dua dari kiri) bersama Aubin (dua dari kanan) pada majlis pelancaran TNG Digital UNHCR 2025 di Kuala Lumpur, hari ini - NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd menawarkan pelbagai perkhidmatan kewangan penting menerusi TNG eWallet kepada pelarian dan pencari suaka di Malaysia.
Ini termasuk membuat pembayaran, menambah nilai baki eWallet, menerima dan memindahkan dana, serta menggunakan Kad Visa Touch 'n Go eWallet untuk pembayaran dalam talian atau luar talian dan pengeluaran wang di ATM.
Selain itu, pengguna boleh menikmati keselamatan yang dipertingkatkan menerusi dasar jaminan pulangan wang dan boleh memperoleh mata ganjaran 'GOrewards' untuk tawaran menarik serta pulangan tunai.
Ia susulan kerjasama strategik penyedia perkhidmatan e-dompet itu bersama Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), bagi memperkukuh keterangkuman kewangan pelarian dan pencari suaka di negara ini.
Usaha terbaharu itu sebahagian daripada komitmen berterusan TNG Digital dalam menyediakan akses yang lancar kepada perkhidmatan kewangan penting untuk komuniti terpinggir.
Susulan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNG Digital dan UNHCR pada Hari Pelarian Sedunia 2024, pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia kini boleh mengakses pelbagai perkhidmatan kewangan penting menerusi TNG eWallet.
Kerjasama itu bertujuan untuk memperkasa pelarian dengan perkhidmatan kewangan yang diperlukan bagi membina daya tahan, meningkatkan taraf kehidupan, serta menyumbang lebih banyak kepada ekonomi Malaysia.
Ia juga usaha berterusan TNG Digital untuk menangani cabaran serta mencerminkan misinya memperjuangkan keterangkuman kewangan kepada kumpulan yang kurang mendapat akses perkhidmatan termasuk pelarian, migran serta golongan yang tidak memiliki akaun bank.
Ketua Pegawai Eksekutif TNG Digital, Alan Ni berkata syarikat percaya bahawa akses kewangan adalah keperluan asas untuk kelangsungan ekonomi dan integrasi.
"Menerusi inisiatif 'Tech4Good' dan 'Digital and Financial Inclusion', ini merupakan teras kepada usaha kelestarian kami untuk memanfaatkan kuasa inovasi dan teknologi bagi memperkasa pelarian dengan alat serta perkhidmatan kewangan penting.
"Ini membolehkan mereka membina daya tahan, mencapai lebih banyak kebebasan dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia. Kerjasama ini juga akan mengukuhkan lagi komitmen kami untuk membawa perubahan bermakna kepada mereka yang memerlukan, katanya semasa majlis menjalinkan kerjasama strategik TNG Digital dan UNHCR di sini, hari ini.
Sementara itu, Wakil UNHCR di Malaysia, Louise Aubin, berkata kerjasama dengan TNG Digital menunjukkan peranan penting yang dimainkan oleh sektor swasta dalam melindungi serta mencapai penyelesaian jangka panjang bagi pelarian.
"Perkongsian ini akan memberikan mereka akses kepada perkhidmatan kewangan, seperti keupayaan untuk menyimpan wang dengan selamat dan mengambil bahagian dalam ekonomi tempatan bagi menjaga diri serta keluarga dengan lebih baik.
"UNHCR amat menghargai komitmen TNG Digital dalam meningkatkan kebergantungan pelarian terhadap diri sendiri, yang mana ini merupakan satu langkah penting dalam menyokong maruah dan keupayaan mereka untuk berdikari," katanya.
Perkhidmatan itu berjaya direalisasikan dengan sokongan daripada rakan kongsi jangka panjang TNG Digital iaitu PayNet dan Visa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan